Apabila bercakap tentang hotel, keinginan masyarakat semakin menekankan keunikan pengalaman dan keselesaan yang tidak dapat diperolehi di tempat-tempat lain. Bermula dengan rekabentuk kreatif, konsep bertema dan memiliki pelbagai kemudahan moden adalah menjadi keutamaan sambil memberi penekanan terhadap kelestarian alam dan manfaat kepada masyarakat setempat.
Suasana yang tenang dan teknologi terkini perlu disediakan untuk memenuhi kehendak para pelancong yang ingin menikmati keseronokan dan kepuasan dalam setiap penginapan.
Hotel Costa Rica Experience Suite yang dibina oleh Arkitek Studio Saxe di Costa Rica merupakan salah satu contoh dalam usaha memberikan kelainan kepada penghuni dan pengunjung. Hotel ini terletak di Sardinal iaitu sebuah daerah yang berada di wilayah barat laut Guanacaste. Guanacaste ialah sebuah kawasan yang terkenal dengan hutan tebal hijau, ladang pertanian, dan pemuliharaan alam semulajadi.
Hotel ini dibina di atas tapak berkeluasan 2.6 hektar yang dikelilingi oleh hutan tropika. Arkitek Studio Saxe mencipta satu rangkaian pod penginapan yang diinspirasikan daripada pokok yang direka untuk meminimumkan gangguan alam sekitar. Pod-pod ini dibina daripada kayu jati dan keluli, dan dinaikkan sehingga sembilan meter dari aras tanah. Kedudukan yang tinggi ini dapat memberikan pemandangan yang luas dan menikmati pengalaman di tengah-tengah hutan.
Konsep rekabentuk yang dicadangkan oleh Arkitek Studio Saxe ialah senibina terapung, di mana struktur yang dibina tidak mengganggu ekosistem sedia ada sebaliknya hidup bersama dan berinteraksi secara simbiotik dengannya.
Hotel ini mempunyai lima pod yang serupa yang mana setiap satu mempunyai keluasan 108 meter persegi termasuk satu balkoni yang mengelilingi ruangan dalam. Bumbung pod ini mempunyai sudut yang membulat dan terkeluar. Mereka menggunakan kayu dan besi untuk membina pod-pod tersebut dan diletakkan di atas tiang besi bersudut.
Setiap pod, terdapat tangga spiral ditengah-tengah struktur besi di bawahnya sebagai akses ke bilik. Setiap bilik disiapkan dengan katil, bilik mandi dan meja kerja serta beberapa lagi kemudahan lain.
Menurut Studio Saxe, bilik-bilik tersebut menawarkan kemudahan yang biasa terdapat di hotel-hotel seperti Wi-Fi, TV dan penghawa dingin walaupun kebanyakan pelancong leih menikmati keindahan alam semula jadi dari atas pod.
Salah satu ciri menarik yang terdapat pada hotel ini ialah ia turut direka untuk dapat mengumpul air hujan dan setiap pokok yang terdapat di kawasan tapak pembinaan juga diselamatkan semasa proses pembinaan.
Dalam dunia perhotelan kita pada hari ini, kita boleh lihat sudah banyak projek-projek dibina dengan idea yang menghubungkan bilik hotel dan alam semula jadi seperti hotel ini. Yang membezakannya ialah dari segi konsep yang ingin ditonjolkan. Malah, projek seperti ini telah dimulakan sejak dahulu lagi.
Bagi rekabentuk rumah konsep pokok juga semakin popular dalam dunia senibina. Ini termasuklah hotel berbentuk bulat rekaan oleh BIG Architect yang dibaluti dengan rumah burung yang kecil sebanyak 350 buah dan struktur kayu yang diangkat dari aras tanah oleh Studio MEMM.
Keseluruhannya, Hotel Costa Rica Experience Suite ini menawarkan pengalaman menginap yang unik dengan berada di tengah-tengah alam semula jadi, sambil mengekalkan kelestarian alam sekitar dan meminimumkan kesan terhadap ekosistem yang sedia ada.