Projek Jambatan Baharu Marang inisiatif Kerajaan Pusat bertujuan untuk membendung kesesakan lalu lintas sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat di bandar ini. Dipetik Sinar.
Aida Amalina Abdullah, Jurutera Awam Kanan Unit Projek Khas Zon Timur I Cawangan Jalan berkata, projek sepanjang 2.5 kilometer (km) di laluan FT003 Kuala Terengganu ke Kuantan itu dijangka siap pada Jun 2025.
“Laluan ini termasuk bahagian yang ditinggikan sepanjang kira-kira 1.4 km yang melibatkan empat lorong. Kemajuan fizikal setakat ini telah mencecah 29 peratus,” katanya kepada Bernama.
Projek bernilai RM338.5 juta itu setakat ini mendapat kerjasama baik daripada semua pihak termasuk masyarakat setempat.
“Penduduk sekitar sudah sedia maklum mengenai projek ini, harap tiada masalah kerana masyarakat juga berharap kegiatan ekonomi lebih rancak apabila jambatan ini siap kelak,” katanya.
Jambatan Baharu Marang antara yang disenaraikan dalam program penggantian jambatan dan menjadi keutamaan untuk dilaksanakan seperti yang dimohon Kerajaan Negeri Terengganu dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) susulan pertambahan trafik.
Rahayu Mustaffa, penduduk dari Kampung Seberang di sini berkata pembinaan jambatan baharu empat lorong itu sudah lama dinantikan oleh rakyat di Marang kerana jambatan lama sempit dan tidak mampu menampung pertambahan penduduk serta kenderaan yang semakin ketara.
Industri pelancongan yang semakin pesat memburukkan lagi masalah kesesakan lalu lintas.
Menurut penduduk, kesesakan teruk akan bermula dari Pantai Kelulut sehingga ke Simpang Empat Sotong iaitu sejauh kira-kira lapan kilometer – Bernama