Penggunaan kayu dalam pembinaan telah mengalami perkembangan yang pesat dalam beberapa tahun terakhir. Kayu, sebagai sumber bahan binaan yang mampan dan mesra alam, semakin mendapat sambutan sebagai alternatif kepada bahan binaan tradisional konkrit dan keluli.
Penggunaan teknologi canggih dan proses industri memungkinkan kayu untuk digunakan dalam bentuk yang lebih kuat dan tahan lama. Selain memberikan dampak positif bagi lingkungan dengan mengurangi jejak karbon, perkembangan ini juga membuka peluang baru dalam bidang rekabentuk dan industri pembinaan, termasuk dalam meningkatkan ketahanan terhadap gempa bumi.
Baru-baru ini, sebuah studio arkitek di Amerika Syarikat, Lever Architecture dan pasukan penyelidik dilaporkan telah berjaya menguji keupayaan tahan gempa sebuah bangunan 10 tingkat yang menggunakan bahan kayu di California.
Dipetik Dezeen, pada awal tahun ini, ujian ini telah dijalankan dengan menggunakan sebuah meja hidraulik besar untuk membuktikan keupayaan bangunan yang dibina berbentuk menara pencakar langit yang dibina daripada kayu untuk menghadapi gempa bumi sekitar magnitud 6.7 dan 7.7.
Bangunan dengan ketinggian 112 kaki (34 meter) merupakan bangunan ujian yang tertinggi yang pernah diuji di atas meja gegaran. Ujian kali ini juga melibatkan kerjasama ratusan pakar dari pelbagai bidang seperti bidang akademik, pembinaan, senibina dan industri bahan.
Sebagai sebahagian daripada projek Natural Hazard Engineering Research Infrastructure (NHERI) Tall Wood Project, studio Lever Architecture bersama dengan Colorado School of Mines menguji bangunan ujian itu dengan menggunakan meja gegaran terbesar di dunia berukuran 25 x 40 kaki atau sekitar 7.6 x 12.2 meter.
Menurut Thomas Robinson, ujian itu bertujuan untuk membuktikan idea ketahanan dalam bangunan. Katanya, setiap kali berlaku gempa bumi yang besar, kebanyakan bangunan memerlukan proses perobohan struktur selepas bencana itu berlaku. Tetapi dengan ujian ini, bangunan itu tidak terjejas dan boleh dipulihkan segera serta dikembalikan kepada posisi asalnya.
Dalam ujian itu, lebih daripada tujuh jenis kayu telah diuji seperti glued laminated timber (glulam), cross-laminated timber (CLT) dan nail-laminated timber (NLT).
Profesor madya Colorado School of Mines, Shiling Pei berkata ujian itu merupakan yang pertama kali diuji atas meja gegaran dalam skala penuh. Ujian itu juga memperakui kebolehan kayu sebagai bahan bangunan yang tahan gempa bagi struktur yang lebih tinggi.
Pasukan penyelidik itu berharap kejayaan kepada ujian ini dapat membantu mengubah kod bangunan untuk lebih menyokong pembinaan bangunan berskala besar menggunakan kayu terutamanya di kawasan yang cenderung mengalami gempa bumi.
Lever Architecture sangat terkenal dengan projek-projek yang melibatkan bahan binaan daripada kayu. antara projek Lever Architecture ialah Meyer Memorial Trust, Adidas Performance Zone, Oregon Conservation Center dan 843 N Spring Street.
* Sekiranya terdapat pembetulan/tambahan/pindaan terdahap artikel di atas, anda boleh maklumkan kepada kami