UTeM dan USIM tersenarai QS World University Rankings 2024

Baru-baru ini, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tersenarai sebagai salah sebuah universiti dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2024, buat julung kali seperti yang dilaporkan Sinar Bestari.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin, berita itu telah diumumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan QS yang meletakkan UTeM pada kedudukan 1,200 hingga 1,400 daripada 2,693 institusi yang dinilai.

Pencapaian itu menunjukkan komitmen yang tinggi UTeM dalam kecemerlangan akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan dan pembangunan penuntut.

“Pencapaian julung kali ini dicapai menerusi inisiatif UTeM di peringkat global melalui kerjasama akademik, kolaborasi penyelidikan dan pelbagai bentuk kerjasama sama ada dengan institut pendidikan tinggi (IPT) yang lain mahupun dengan industri dan organisasi antarabangsa.

“UTeM beriltizam untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama ke beberapa negara lain termasuklah Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Korea Selatan dan China serta bakal diperluas ke negara-negara Balkan juga.

“Kami amat teruja dengan pencapaian membanggakan ini yang terhasil daripada dedikasi dan kerja keras semua lapisan warga universiti dari peringkat Lembaga Pengarah Universiti, pihak pengurusan tertinggi dan kanan; warga kerja hingga ke para penuntut,” katanya lagi.

Massila berkata, UTeM mula mengemukakan data bagi penilaian penarafan QS dan telah tersenarai pertama kali dalam penarafan QS Asia University Rankings 2020. Kemudian, disenaraikan dalam penarafan tertinggi QS World University Rankings 2024 dalam tempoh lima tahun dari penarafan peringkat Asia.

Elemen-elemen yang diperkenalkan oleh QS World University Rankings seperti kelestarian dan kebolehpasaran graduan akan terus ditekankan UTeM melalui Pelan Strategik UTeM 2023-2025: Menjajar Universiti, Melonjak Ke Hadapan.

Tambahnya, UTeM akan memperkukuh peranannya sebagai universiti teknikal yang mengangkat agenda pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada semua peringkat.

“Usaha berterusan akan digandakan bagi meningkatkan lagi kedudukan UTeM dalam penarafan QS World University Rankings akan datang,” tuturnya.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) juga turut tersenarai dalam QS World University Rankings 2024.

Naib Canselor USIM dalam satu kenyataan berkata, penarafan tersebut membuktikan USIM antara universiti terbaik dunia yang mengangkat dan memartabatkan institusi ilmu Naqli dan Aqli bagi konteks membangunkan keilmuan, kesarjanaan dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Beliau turut optimis untuk menjadikan USIM sebagai universiti rujukan global 2025.

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *