ECRL Malaysia : Pembangunan Infrastruktur Rel Pantai Timur – Lembah Klang

Projek ECRL (East Coast Rail Link) merupakan salah satu projek infrastruktur terbesar di Malaysia yang bertujuan untuk memperkukuhkan rangkaian laluan keretapi yang menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia adalah salah satu inisiatif penting yang dicetuskan semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri ketika itu, dalam rangka meningkatkan sistem pengangkutan, merangsang ekonomi, dan pembangunan di negeri-negeri Pantai Timur. Projek ini dijangka siap pada tahun 2026.

Imej via Veritas

ECRL adalah projek rangkaian rel keretapi elektrik dua hala yang memiliki laluan sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan ke Lembah Klang, Selangor. Laluan ini akan melalui 4 negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dengan kelajuan sehingga 160 km/jam yang akan memakan masa 4 jam sahaja untuk tiba di Gombak.

Projek ini bukan sahaja untuk mempercepatkan perjalanan antara Pantai Timur dan Pantai Barat tetapi juga untuk merapatkan jurang ekonomi di antara kedua-dua wilayah ini.

Sebelum ini, kebolehcapaian antara Pantai Timur dan Pantai Barat agak terhad. Ia melibatkan perjalanan yang lebih panjang dan boleh memakan masa terlalu lama jika melalui jalan darat seperti kereta, bas, motor dan sebagainnya. Keadaan tersebut telah menjadi penghalang yang mempengaruhi proses peningkatan ekonomi bagi sesuatu tempat di wilayah Pantai Timur.

Imej via MRL

Dengan kehadiran sistem pengangkutan ECRL ini, peluang baru akan terbuka untuk menghubungkan beberapa kawasan bandar di setiap negeri masing-masing melalui rangkaian ECRL ini. Selain itu, sistem ini juga akan memberikan akses yang lebih luas dalam bidang perniagaan, pendidikan, pekerjaan, serta mendorong kemajuan ekonomi secara keseluruhan.

Jadi, projek ini bukan sahaja untuk mempercepatkan perjalanan tetapi memberi impak yang sangat positif untuk merangsang ekonomi, pembangunan dan menaik taraf bandar, pelancongan dan sebagainya.

Jajaran ECRL

Mengikut perancangan, jajaran ECRL ini mengandungi 3 seksyen (A, B dan C) yang bermula dari Kelantan hingga ke negeri Selangor.

  • Seksyen A melibatkan 6 stesen iaitu 2 stesen di Kelantan (Kota Bharu dan Pasir Puteh), 4 stesen di Terengganu (Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun).
  • Seksyen B terdapat 7 stesen iaitu 2 di Terengganu dan 5 di Pahang. Stesen tersebut ialah Kemasik, Chukai, Cherating, Kuantan Port City, KotaSAS, Paya Besar dan Maran.
  • Seksyen C pula melibatkan 3 stesen iaitu 2 di Pahang dan 1 di Selangor. Stesen yang dimaksudkan ialah Stesen Temerloh/Mentakab, Stesen Bentong dan berakhir di Stesen Gombak (Stesen Pertukaran).
  • Seterusnya, laluan akan bersambung dari Gombak ke Stesen Serendah Baru, Puncak Alam (masa hadapan), Kapar (masa hadapan) dan berakhir di Pelabuhan Klang.
  • Terdapat 4 Stesen Pertukaran iaitu Stesen Temerloh/Mentakab, ITT Gombak, Serendah Baru dan Pelabuhan Klang.
Imej via Veritas

ECRL dimiliki oleh MRLSB (Malaysia Rail Link Sdn. Bhd.), sebuah syarikat yang berada di bawah MOF Inc. Projek ini diketuai oleh kontraktor berpengalaman bertaraf dunia, China Communications Construction Company Ltd (CCCC), dan juga melibatkan kerjasama kontraktor tempatan.

Sebanyak 59 buah terowong akan dibina di sepanjang laluan ECRL ini. Menurut MRL, pembinaan terowong adalah salah satu langkah untuk mengurangkan kehilangan hutan simpan. Habitat hutan dapat diselamatkan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

ECRL juga dianggarkan dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau iaitu sekitar 1 juta tan Co2e karbon setiap tahun.

Imej via Veritas

Kelebihan dan Manfaat Projek ECRL

Seperti mana yang kita sedia maklum bahawa setiap projek terutamanya yang berkaitan dengan infrastruktur dan fasiliti adalah tidak lain untuk memberi kemudahan dan keselesaan. Oleh itu, sudah tentu projek ini mempunyai beberapa kelebihan yang akan dinikmati oleh pengguna dan penduduk tempatan.

Berikut antara kelebihan yang akan diperolehi melalui projek ECRL ini:

  1. Peningkatan Sistem Pengangkutan: ECRL akan memberi impak besar kepada sistem pengangkutan. Perjalanan antara Pantai Timur dan Pantai Barat akan menjadi lebih cepat dan efisien yang menyumbang kepada pembangunan seluruh negara.
  2. Pembangunan Ekonomi: Projek ini akan merangsang aktiviti ekonomi di sepanjang laluan rel. Bandar dan kawasan luar bandar yang terletak di sepanjang laluan itu sepatutnya akan dapat menikmati pertumbuhan ekonomi yang rancak melalui peluang-peluang perniagaan, pelancongan dan pelaburan.
  3. Peningkatan Pembangunan Infrastruktur: Projek ini akan merangsang pembangunan infrastruktur tambahan utama yang lain seperti pembinaan dan pembesaran jalan raya, pembinaan stesen-stesen bas yang baru, pusat transit, dan kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan.

Manfaat bersama

Bagi projek bersekala besar, walau sebesar mana pun kos pembinaannya, selagi mana ia bertujuan untuk memberi keselesaan dan manfaat kepada masyarakat, maka projek seperti ini perlu diberi keutamaan. Pembangunan infrastruktur yang memberi manfaat kepada masyarakat dalam bentuk kemudahan akses, peluang ekonomi, dan peningkatan kualiti hidup haruslah menjadi fokus utama dalam agenda pembangunan sesebuah negara.

Dengan mengutamakan projek-projek yang mementingkan kesejahteraan rakyat dan kebaikan bersama, kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang berdaya tahan, inklusif, dan maju ke hadapan

Walaupun begitu, beberapa aspek seperti keselamatan, pengurusan alam sekitar, pelepasan karbon, memperbaiki sistem perparitan, menaik taraf jalan raya, dan lain-lain tidak diabaikan.

  • Nama projek: East Cost Rail Link (ECRL)
  • Pemilik Projek: Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MOF Inc)
  • Kontraktor utama: China Communications Construction Company Ltd (CCCC)
  • Jarak jajaran: 665 kilometers
  • Wilayah terlibat: Kelantan, Terengganu, Pahang & Selangor
  • Kos pembiayaan: RM18 Billion.
  • Negara: Malaysia

Sumber: MRL,

Foto: Veritas, ECRL FB

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *