Jeddah Tower: Arab Saudi Sambung Semula Projek Menara Tertinggi Di Dunia

IMEJ: dezeen

Rekabentuk menara paling tinggi di dunia oleh Adrian Smith + Gill Gordon Architecture iaitu Jeddah Tower di Arab Saudi dilaporkan akan dimulakan semula kerja-kerja pembinaannya.

Menara yang akan menjadi menara tertinggi di dunia dengan ketinggian 1,000 meter atau 1 kilometer itu dikatakan akan disambung semula kerja-kerja pembinaannya selepas hampir 10 tahun terhenti. Lapor Middle East Economic Digest (MEED).

Sebagai gambaran, 1 kilometer itu ibarat jarak dari Masjid Negara ke Menara Merdeka 118.

Jarak dari Masjid Negara ke Menara Merdeka 118. Imej oleh DZ Creation Studio

Jika ia berjaya mengikut pelan rekabentuk asal, maka Jeddah Tower ini bakal menjadi menara tertinggi di dunia mengatasi pemegang rekod tertinggi ketika ini, Burj Khalifa, dengan ketinggian 828 meter. Burj Khalifa direkabentuk oleh Arkitek Skidmore Owing & Merrill (SOM) yang pada ketika itu juga diterajui oleh Adrian Smith semasa dia di firma itu.

IMEJ: dezeen

Berdasarkan kepada imej yang dikongsikan, permukaan fasad menara itu akan bersalut dengan kaca dengan pelan bangunannya berbentuk segitiga. Selain itu, terdapat juga beberapa lekukan seperti sirip di bahagian tepi menara yang menaik ke atas.

Jeddah Tower atau dahulunya dipanggil sebagai Kingdom Tower akan mempunyai hotel, kediaman, pejabat dan dek tinjau tertinggi di dunia.

Gambaran pertama projek itu telah dikongsikan pada tahun 2011 dan acara pecah tanah juga telah dilakukan pada tahun 2013. Namun, kerja-kerja pembinaan terganggu dan terhenti untuk tempoh yang sangat lama.

IMEJ: dezeen

Salah satu penangguhan kerja-kerja pembinaan itu adalah disebabkan oleh pekerja buruh selepas kontraktornya, Blindan Group telah dikeluarkan daripada projek itu pada tahun 2017.

Seperti yang telah dilaporkan oleh MEED, pemaju projek, Jeddah Economic Company (JEC) ketika ini sedang mencari kontraktor baru untuk menyiapkan projek itu.

Sebelum ini, kerja-kerja pemasangan cerucuk dan asas tapak telah dijalankan dan sebahagiannya telah siap pada tahun 2018. Pembinaan itu dikatakan telah mencapai ketinggian pada tingkat ke-63.

Bagaimanapun pada ketika ini, arkitek yang terlibat tidak memberikan sebarang maklum balas berkenaan dengan status projek tersebut.

Arab Saudi ketika ini sedang rancak membangunkan projek-projek bersekala besar atau projek giga, sekurang-kurangnya ketika ini terdapat 14 projek sedang dijalankan termasuk projek The Line, sebuah bandar sepanjang 170 kilometer, yang dikritik.

Dipetik Dezeen, sebuah majalah senibina melaporkan bahawa Neom yang membangunkan projek The Line sedang berhadapan dengan “moral dilemma” dan patut berfikir semasak-masaknya tentang penglibatan mereka dengan projek itu.

Di Jeddah pula, satu pelan telah dikemukakan untuk penempatan kediaman seluas 5.7 juta meter persegi dan kompleks seni yang digelar sebagai Jeddah Central. Projek itu dibiayai oleh Kerajaan Saudi.

Adrian Smith dan Gordon Gill Architect ditubuhkan pada tahun 2006 selepas kedua-duanya keluar daripada SOM Architects. Projek terkini mereka termasuklah projek The Central Park Tower yang terletak di New York.

  • Nama Projek: Jeddah Tower (sebelumnya, Kingdom Tower)
  • Arkitek: Adrian Smith + Gordon Gill Architecture
  • Ketinggian: 1,000 meter (m) / 1 kilometer (km) / 3,281 kaki (ft)
  • Keluasan: 2,624,950 kps (sqft)
  • Aras: 167 Tingkat
  • Lokasi: Jeddah, Arab Saudi
  • Negara: Arab Saudi

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *