Rekabentuk projek renovation sebuah gudang “Wanmicang” yang terletak di Shanghai telah dikongsikan oleh firma MAD Architects. Bangunan kilang simen lama dengan nama “Shanghai Zhanjiang Cement Factory” itu akan diubah menjadi ruang pelbagai guna untuk kebudayaan, kreativiti dan aktiviti perniagaan.

Ciri-ciri baru yang diterapkan terhadap bangunan lama itu ialah tambahan rekabentuk “ark” yang seakan-akan sebuah kapal terapung yang diletakkan di antara struktur kilang lama, bersesuaian dengan kedudukannya yang menghadap kawasan perairan. Kilang lama itu merupakan salah satu kilang simen terbesar di Shanghai dan telah lama ditinggalkan sejak tahun 2013. Namun, kini ia akan kembali dihidupkan dengan tanggunjawab itu diberikan kepada MAD Architects untuk membangunkan dan dalam masa yang sama memelihara semula struktur lama bangunan itu.

MAD Architects bertanggungjawab memastikan bahawa bekas kilang lama itu diubahsuai menjadi ruang serba guna yang baru. Sebahagian struktur pada fasad bangunan lama akan dibaiki, manakala sebahagian yang lain akan digantikan dengan dinding kaca yang akan dipasang semula pada kedudukan asal. Idea ini bertujuan untuk menghubungkan aktiviti di dalam dan di luar bangunan melalui dinding kaca dan mencipta ruang yang lebih dinamik.

Struktur kilang lama yang panjang dan sempit adalah satu kelebihan yang digunakan sepenuhnya dengan menambah “ark” terapung sebagai ruang dalam yang baru. Struktur baru itu disokong dengan lantai dan tiang-tiang baru untuk memberi kesan seperti terapung. Tiang-tiang baru itu juga bertindak sebagai penyokong kepada struktur dinding lama dan sedia ada.

Dalam usaha untuk menghidupkan semula bandar ini, di bawah “ark” ini akan terdapat sebuah ruang taman bertingkat yang membenarkan komuniti dan orang awam menggunakan ruang tersebut. Antara ruang yang terdapat di dalamnya ialah ruang publik, ruang kerja terbuka, kafe, kedai, dewan serba guna dan sebagainya. Kemudian, terdapat juga ruang laluan dan ruang legar yang menghubungkan bahagian utara dan selatan bangunan. Selain itu, terdapat tangga untuk menghubungkan setiap aras sehingga ke bumbung “ark” yang membolehkan orang awam menikmati pemandangan cantik disekitar kawasan bandar dan Sungai Chuanyang.

Menurut Ma Yansong dari MAD Architects, melestarikan warisan perindustrian bukan hanya untuk merakam semula sejarahnya, tetapi apa yang lebih penting adalah menerapkan makna sejarah kepada generasi akan datang dengan cara menyesuaikan struktur lama melalui rekabentuk yang lebih moden untuk memenuhi keperluan semasa dan akan datang.
Sebelum ini MAD Architects pernah berkongsi gambar rekabentuk Pusat Kebudayaan dan Seni Anji di Zhejiang, China yang menggabungkan pusat teaterm sukan dan rekreasi.
Sumber: Archdaily