Kerajaan Arab Saudi, melalui NEOM mengumumkan LEYJA sebagai destinasi pelancongan terbaru bagi mengukuhkan lagi sektor pelancongan di negara itu. Pengumuman itu sekali gus menjadikan wilayah yang akan dibangunkan di NEOM setakat ini kepada 5 wilayah.
Terletak di NEOM, projek LEYJA akan dibangunan di Teluk Aqaba iaitu di kawasan perairan sebelah barat negara itu. Teluk Aqaba terkenal dengan keindahan lembah dan kawasan pergunungan setinggi 400 meter yang terbentuk secara semula jadi.
NEOM akan meneruskan projek mereka bagi merealisasikan Wawasan 2030 Arab Saudi telah menetapkan bahawa 95% kawasan pembangunannya akan dipelihara untuk alam semula jadi. Projek itu sama seperti projek-projek yang lain yang akan menggabungkan rekabentuk ekologi dan teknik pembinaan inovatif untuk memastikan pembangunan destinasi dan bandar serta pemeliharaan alam semula jadi dapat berjalan dengan lancar.
Di LEYJA akan mengandungi 3 butik hotel mewah yang direka oleh arkitek terkemuka. Arkitek tersebut ialah Mario Cucinella untuk Oasis Hotel, Chris Van Duijn, Adventure Hotel dan Shaun Killa, Wellness Hotel. Ketiga-tiga hotel itu akan mengandungi kira-kira 120 bilik dan suite yang direka secara mampan yang disesuaikan dengan alam sekitar.
Rekabentuk
Yang menariknya, seperti yang didedahkan NEOM, ketiga-ketiga hotel mewah ini akan dibina dicelah-celah kawasan pergunungan yang disesuaikan dengan persekitaran. Rekabentuk itu menampakkan usaha yang sangat jelas untuk tidak mengganggu dan merosakkan kawasan pergunungan dengan rekabentuk yang sangat unik.
Hotel pertama atau The Adventure Hotel, direka dengan struktur yang berpaut pada dinding gunung seperti tangga yang menaik ke atas. Rekabentuk yang tidak menganggu struktur muka bumi malah mengikut alur dan lereng-lereng gunung sedia ada. Rekabentuk ini sangat sesuai kepada penggemar aktiviti lasak seperti mendaki batu di kawasan pergunungan berbatu.
Struktur kedua atau The Oasis Hotel pula direka di tengah-tengah oasis terbesar wadi. Strukturnya berbentuk seperti plat besi yang dipacak dan dipautkan di tengah-tengah kawasan berbukit, kemudian, ia meruncing ke atas. Walaupun nampak unik tetapi rekabentuknya disesuaikan dengan keadaan di sekelilingnya. Bentuknya yang memanjang ke atas itu memberikan pemandangan yang lebih luas dari dalam untuk melihat keindahan pergunungan semula jadi di sekelilingnya.
Hotel ketiga atau The Wellness Hotel direka dengan bentuk petak dan bersegi empat yang muncul di celah-celah batu pergunungan. Hotel ini lebih kepada pengalaman terapi sambil menikmati keindahan kawasan pergunungan. Struktur yang kontra tetapi ia dipadankan dengan pantulan dinding kaca pada fasad bangunan untuk tidak menjejaskan pemandangan pergunungan disekelilingnya.
Apabila ia siap nanti, LEYJA akan mengandungi pelbagai pilihan untuk pengalaman dan aktiviti termasuk restoren mewah dan moden yang bakal menyajikan sajian hebat dari chef terkemuka dunia. Di LEYJA, ada terapi, berbasikal, mendaki, mengembara dan melakukan aktiviti lasak.
Pengumuman terbaru ini akan menjadikan LEYJA sebagai wilayah projek seterusnya yang akan dibangunkan NEOM bersama-sama dengan THE LINE, SINDALAH, OXAGON DAN TROJENA.
Sumber: NEOM