Seperti mana yang kita sedia maklum bahawa, Arab Saudi sebuah negara yang terletak di wilayah Timur Tengah ketika ini sedang giat menjalankan program pembangunan negaranya secara besar-besaran untuk mencapai Wawasan 2030.
Matlamat projek secara besar-besaran itu juga adalah salah satu usaha negara itu untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber hasil minyak dan membuka peluang ekonomi baharu yang dapat mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan. Seterusnya menumpukan lebih banyak perhatian kepada pembangunan masa depan dari pelbagai sudut.
Antara projek yang sangat terkenal ketika ini ialah projek Neom, The Line yang dikritik hebat kerana pelbagai faktor. Walaupun begitu, projek The Line ketika ini sedang dalam pembinaan. Tetapi, itu baru satu daripada 14 projek giga yang sedang dibangunkan oleh Arab Saudi. Dan itu pun, baru 1 daripada 10 projek yang akan dibangunkan Neom.
Di sini kami akan senaraikan projek-projek giga1 atau projek mega2 yang sedang dibangunkan oleh Arab Saudi menjelang Wawasan 2030 negara itu. Projek-projek itu dibiayai oleh dana Kerajaan Arab Saudi sendiri selain dana yang disalurkan oleh Putera Mahkota Saudi.
Masar, Mekah
Projek Masar terletak di Kota Suci Mekah merupakan salah satu projek giga yang sedang dalam proses pembinaan. Projek yang diketuai oleh Umm Al Qura ini adalah projek pembangunan semula yang dibina di atas tanah sepanjang 3.6 kilometer dan lebar 300 meter sebagai bandar baru menuju ke Masjidilharam, Mekah.
Disepanjang pembangunan Bandar Masar ini akan mengandungi 205 buah menara dan di tengah-tengahnya pula terdapat laluan pejalan kaki yang selesa selebar 60 meter menuju ke Baitullah. Kerja-kerja pembinaan yang paling hampir dengan Masjidilharam telah dimulakan dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2035. Perbelanjaan yang diperlukan untuk membangunkan projek ini ialah sekitar $26 ke $30 Billion.
Arkitek yang terlibat dengan projek ini ialah Omrania iaitu firma arkitek dari Arab Saudi sendiri, HOK dari Amerika Syarikat dan RMJM dari United Kingdom.
Imej via THE PLAN
Neom
Neom merupakan projek yang paling besar setakat ini dan paling kontroversi yang sedang dibangunkan oleh Arab Saudi. Projek Neom ini meliputi kawasan dengan saiz keluasan lebih 10,000 batu persegi yang terdiri daripada 10 wilayah. 4 daripadanya telah diumumkan dan salah satunya ialah projek The Line, iaitu pembangunan baru sepanjang 170 kilometer. Projek ini akan menelan belanja sekitar $500 Billion.
Setakat ini 4 wilayah projek sudah diumumkan Neom iaitu The Line, Sindalah, Trojena dan Oxagon.
Firma arkitek yang terlibat dalam projek Neom ini ialah Zaha Hadid, Morphosis, BIG, CHAP, Bureau Proberts, Mecanoo, UNStudio, Aedas dan LAVA.
Imej via NEOM
Jeddah Central
Projek Jeddah Central ialah projek yang dibina di atas tanah seluas 5.7 juta meter persegi yang mengandungi 17,000 unit kediaman, 2,700 bilik hotel dan 4 bangunan mercu tanda. Selain itu, terdapat lebih 10 projek hiburan dan pelancongan akan diwujudkan di sini. 4 bangunan mercu tanda itu ialah Pusat Seni oleh Firma Arkitek Heatherwick Studio di Pantai Merah, Stadium oleh Firma GMP Architecten, Rumah Opera oleh Arkitek Henning Larsen dan Oceanarium oleh Arkitek dari Amerika Syarikat, SOM.
Projek ini dibiayai sendiri oleh Kerajaan Saudi dengan kos sekitar $20 billion dollar.
Imej via CATERER
King Salman Park
Projek King Salman Park ketika ini sedang dalam pembinaan yang terletak di dalam Kota Riyadh. Matlamatnya ialah untuk menjadikan taman ini sebagai taman bandar moden terbesar di dunia.
Pelan induk atau Masterplan projek ini direka oleh Firma Arkitek dari Denmark, Henning Larsen dan Studio Arkitek Saudi sendiri iaitu Omrania. Menurut Dezeen, sebuah majalah senibina, Taman bandar ini akan mengandungi ruang hijau berkeluasan 11 kilometer persegi dan akan mempunyai kira-kira 1 juta pokok. Menariknya, pokok-pokok itu akan disiram dengan menggunakan 100% air yang dikitar semula.
Di dalam bandar itu akan terdapat beberapa bangunan mercu tanda termasuk Kompleks Seni DiRaja yang melibatkan Arkitek Ricardo Boffil dan Adjaye Associates.
Kos pembinaan projek ini ialah sekitar $23 billion dollar.
Imej via KING SALMAN PARK
The Red Sea Project
Satu lagi projek bersekala besar yang akan dibangunkan oleh Arab Saudi ialah Projek Laut Merah atau The Red Sea Project. Projek ini akan dibangunkan di kawasan pantai negara itu untuk dijadikan pusat peranginan yang merupakan antara tumpuan utama negara itu untuk meningkatkan sektor pelancongan.
Nama Arkitek besar seperti Foster + Partners akan merekabentuk hotel berbentuk cincin, resort Coral Bloom dan Institut Hidupan Marin di resort Amaala serta lapangan terbang yang terletak kira-kira 15 kilometer dari pantai. Lapangan terbang itu juga merupakan salah satu projek yang terdapat dalam The Red Sea Project. Kos perbelanjaan projek ini dianggarkan lebih $8 billion dollar. Namun, jumlah sebenar tidak diketahui.
Arkitek lain yang terlibat ialah Kengo Kuma and Associates untuk 100 unit villa percutian.
Imej via RED SEA GLOBAL
Roshn
Roshn ialah projek yang berusaha untuk memastikan pemilikan rumah kediaman di Arab Saudi mencapai 70% menjelang tahun 2030. Projek pembangunan dengan kos kira-kira $2.1 billion dollar itu mensasarkan kira-kira 400,000 unit rumah dapat dibina. Projek ini dibiayai oleh Kerajaan Saudi sendiri dan kerja-kerja pembinaan sudah pun bermula. Ketika ini, sekitar 6,000 unit rumah telah siap dibina dan lebih 20,000 unit lagi sedang dalam proses pembinaan.
Dalam projek Roshn ini akan mengandungi 850 buah masjid, 2,400 sekolah dan penanaman 1 juta pokok.
Imej via ROSHN
Diriyah
Diriyah ialah projek seluas 7 kilometer persegi yang dibangunkan di atas Tapak Warisan Dunia UNESCO, At-Turaif, yang terletak di wilayah barat Kota Riyadh. Untuk pengetahuan anda, At-Turaif merupakan sebuah bandar lama yang dikatakan rumah asal keluarga Al-Saud dan dikenali sebagai “tempat kelahiran kerajaan”.
Projek ini bernilai $63.2 bilion dollar yang dibiayai oleh Kerajaan Saudi sendiri bertujuan untuk menjadikan tapak tersebut sebagai destinasi pelancongan kebudayaan. Projek ini akan mengandungi sekitar 38 hotel, 6 muzium dan 26 tarikan kebudayaan yang lain.
Fasa pertama ialah projek pembangunan semula, telah dibuka pada tahun 2022 di mana terdapat ruang makan premium iaitu Bujairi Terrace yang mengandungi 21 buah restoran yang menghadap ke arah bandar lama itu.
Imej via DEZEEN
Qiddiya
Projek Qiddiya ialah projek hiburan, sukan dan kebudayaan yang dibina di dalam satu pembangunan di dalam daerah Riyadh. ia bertujuan untuk meningkatkan jumlah pelancong ke ibu kota itu.
Projek ini sedang dalam pembinaan di atas tapak seluas 367 kilometer persegi yang akan mengandungi kemudahan hiburan, pusat sukan, ruang konsert, tempat bermain golf dan roller coaster terpanjang di dunia.
Kos keseluruhan pembinaan projek ini ialah sekitar $750 juta dollar.
Imej via QIDDIYA
Murabba
Kerajaan Saudi dilihat bersungguh-sungguh untuk menjadikan Murabba kepada sebuah bandar baru, moden dan futuristik. Projek Murabba inilah yang akan mengandungi ikon baru iaitu sebuah bangunan pencakar langit berbentuk kiub setinggi 400 meter yang bernama, Mukaab.
Apa itu Mukaab? Mukaab ialah sebuah bangunan berbentuk kiub yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, tempat membeli belah, hiburan, kediaman dan tempat makan.
Di dalam kiub itu akan mengandungi 2 juta meter persegi untuk ruang kedai dan ruang kebudayaan serta tempat tarikan kepada pelancong.
Disekitar Mukaab pula akan dibarukan dengan persekitaran bandar di atas tapak pembangunan seluas 19 kilometer persegi. Murabba terletak di dalam daerah Riyadh dan akan menjadi bandar serba baru kepada ibu kota Riyadh.
Projek ini akan mengandungi 100,000 unit kediaman, 9,000 hotel, 980,000 meter persegi ruang kedai dan 1.4 juta meter persegi ruang pejabat.
Projek ini akan menelan belanja lebih $50 billion dollar dan mengikut jadual, ia akan siap dibina sepenuhnya pada tahun 2030.
Imej via NEW MURABBA
Saudi Downtown
Saudi Downtown ialah projek yang dibangunkan di atas tapak seluas kira-kira 10 juta meter persegi secara keseluruhannya. Projek ini ialah projek untuk menjadikan sebuah bandar moden, pelbagai guna dan destinasi kebudayaan tempatan dengan melibatkan 12 bandar di Arab Saudi. Bandar-bandar tersebut ialah Tabuk, Hail, Arar, Dumat Al Jandal, Al-Madinah, Al-Khonbar, Al-Ahsa, Taif, Al-Baha, Najran, Buraydah dan Jizan.
Projek ini dibiayai oleh Kerajaan Saudi.
Imej via SAUDI DOWNTOWN
Al’Ula
Projek yang pernah viral baru-baru ini kerana ia adalah tempat yang dilarang kepada umat Islam untuk dikunjungi. Bagaimana pun, bukan itu yang hendak dikongsikan di sini.
Projek Al-‘Ula ialah satu lagi projek pembangunan semula yang bertujuan untuk menjadikan kota lama itu sebagai salah satu destinasi pelancongan. Al-‘Ula yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO itu akan mengandungi beberapa buah muzium dan hotel. Kos keseluruhan untuk pembangunan projek ini ialah $15 billion dollar.
Arkitek Jean Nouvel dan AW2 antara yang terlibat untuyk projek hotel bawah tanah dan pusat peranginan khemah mewah.
Arkitek lain seperti Lina Ghotmeh dan Asif Khan masing-masing menyediakan projek bagi Muzium seni kontemporari dan Muzium Jalan Al-Bakhour.
Imej via AFALULA
King Abdullah Financial District (KAFD)
Projek King Abdullah Financial District (KAFD) juga terletak di ibu kota Riyadh tetapi projek ini bukan diumumkan ketika perancangan pembangunan Wawasan 2030. Projek telah diumumkan pada sebelumnya lagi. Projek ini mengandungi pusat kerajaan dan beberapa kawasan kediaman yang man asebahagian besar daripadanya telah pun siap dibina.
Projek ini dibangunankan di atas tapak seluas 1.6 juta meter persegi yang mana pelan induknya (Masterplan) direka oleh Arkitek Denmark, Henning Larsen. Projek ini akan mengandungi 61 buah bangunan pencakar langit dan turut disertai oleh Arkitek Saudi, Omrania, Foster + Partners, Gensler, HOK, SOM dan CallisonRTKL.
Pembangunan dalam projek ini akan dihubungkan dengan beberapa jambatan berhawa dingin, sistem monorel dengan 6 stesen berada di sekitar tapak projek.
Pusat bandar akan dihubungkan dengan Metro Riyadh yang sedang dalam pembinaan oleh Stesen Metro Daerah Kewangan King Abdullah (KAFD) rekaan Firma Arkitek Zaha Hadid terlibat untuk projek Metro Station yang akan menghubungkan pusat bandar dengan Metro Riyadh.
Imej via DEZEEN
Mohammed bin Salman Non-profit City (MISK)
Projek ini dinamakan bersempena dengan nama Mohammed bin Salman dan dibiayai oleh yayasan peribadinya sendiri iaitu Mohammed bin Salman Non-profit City atau MISK. Projek ini sedang dibina di Riyadh sebagai inkubator perniagaan dan tempat untuk menyokong pemimpin masa depan negara itu.
Direka sebagai bandar 15 minit dengan bas automatik, projek ini akan disusun sekitar rangkaian utama yang dilindungi oleh sistem teduh raksasa. Projek ini direka oleh Firma Arkitek CallisonRTKL.
Selain itu, beberapa rekabentuk di dalam projek itu turut disertai oleh antaranya, Arkitek Anne Holtrop dan Conrad Gargett.
Imej via MISK CITY
Seven
Projek ini pula dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Saudi dengan tema “menjadikan hari esok lebih menyeronokkan”. Projek ini akan membangunkan kira-kira 10 wilayah hiburan di seluruh negara itu yang ditumpukan kepada golongan muda. Antara pembangunan yang dicadangkan ialah pusat bowling, golf, skydiving dan panggung wayang.
Kos bagi pembinaan projek ini sekitar $13.3 billion dollar.
Imej via SEVEN
Nota:
1 Projek mega ialah projek berskala besar dengan kos sekitar $1 bilion dollar atau lebih
2 Projek giga ialah projek yang menelan belanja melebihi $10 bilion dollar