Kitaran kekejaman terhadap rakyat Palestin mesti dihentikan

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendudukan haram dan kitaran kekejaman terhadap penduduk Palestin mesti dihentikan dalam usaha menyokong penubuhan negara Palestin yang bebas dan merdeka.

Katanya, penyelesaian mesti dilakukan mengikut penyelesaian dua pihak berdasarkan kepada sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Katanya lagi, dunia tidak lagi boleh menafikan hakikat bahawa itu adalah cara untuk mencapai keamanan di rantau berkenaan dan memerlukan kepada tindakan yang jitu dan berkesan.

“Ledakan keganasan semasa yang kita saksikan tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia disebabkan pendudukan haram israel selama lebih 70 tahun di bumi Palestin dan penindasan yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat palestin oleh israel.

“Kita mesti hentikan kitaran kekejaman di rantau itu. Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berpura-pura kononnya mengambil berat terhadap rakyat Palestin,” Katanya di Mesyuarat Pleno Sesi le-78 Perhimpunan Agong PBB mengenai situasi di Asia Barat termasuk Palestin.

Datuk Seri Dr Zambry berkata, suara rakyat Palestin mesti didengari dan menegaskan rakyat Palestin mesti terlibat dalam sebarang perbincangan tadbir urus masa depan mereka.

“Kita tidak boleh menunggu lagi. Sudah tiba masanya untuk memberikan rakyat Palestin tempat yang setaraf dan hak mereka dalam kalangan kita, negara-negara bebas di dunia. Sudah tiba masanya untuk negara Palestin yang bebas dan merdeka,” ucapnya.

Laporan 2023 Jawatankuasa Khas PBB menyebutkan bahawa setakat Ogos 2023, israel telah membunuh sejumlah rakyat Palestin dengan lebih ramai berbanding dengan tahun-tahun sebelum sebelumnya sejak 2005.

Setakat September 2023, israel menahan 1,264 rakyat Palestin dan itu merupakan jumlah tertinggi dalam lebih sedekad.

Tegasnya lagi, mana-mana pelanggaran undang-undang antarabangsa mesti disiasat dan tiada pengecualian atau tiada dwistandard lebih-lebih lagi kepada mereka yang melakukan jenayah perang sewenang-wenangnya.

Serangan dilakukan terhadap Palestin adalah jelas dan terang-terangan serta kegagalan untuk membawa pelaku ke muka pengadilan mengesahkan sikap hipokrit, selektif dan dwistandard.

Kegagalan itu juga akan menghakis kepercyaan terhadap sistem pelbagai hala termasuk penggunaan tindakan unliteral yang boleh membawa kepada lebih banyak konflik, penderitaan dan ketidakadilan.

Beliau juga menyambut baik perjanjian gencatan senjata sejak 22 November lalu dan Malaysia berpendirian agar gencatan senjata berkekalan dilaksanakan. – BERNAMA

Ucapan beliau di Mesyuarat Pleno Sesi Ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Situasi di Timur Tengah termasuk Isu Palestin pada 28 November 2023 di New York.

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *