Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino, berganding bahu dalam projek pembinaan Stadium AFC yang baru di Malaysia, dipetik AFC.com.
Stadium AFC ini akan dibina kira-kira 30km dari AFC House yang terletak di Putrajaya, Malaysia itu akan didirikan di atas kawasan seluas 15.43 ekar yang lengkap dengan tempat duduk penonton, bulevard penonton, dan atrium, beserta ruang pejabat pentadbiran dan tempat letak kereta bawah tanah.
Pembinaan stadium bola sepak butik bertaraf dunia ini akan dibiayai melalui program FIFA Forward dan akan meningkatkan lagi visi dan misi AFC bagi menyokong Kesatuan-Kesatuan Ahli (MAs) dan Kesatuan Wilayah (RAs) dengan kesan besar. Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Kerajaan Malaysia turut menyokong projek ini dengan menyediakan bantuan logistik untuk reka bentuk stadium.
Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa selaku Presiden AFC berkata, stadium ini diharap dapat menyediakan lebih banyak lagi program memandangkan pembangunan bola sepak adalah menjadi tumpuan utama dengan menyediakan pelbagai program berkaitan.
“AFC House telah menjadi titik fokus pembangunan bola sepak melalui pelbagai kursus, bengkel, dan seminar dalam bidang Teknikal dan Pengadil, dan sekarang dengan Stadium AFC baru ini, kita mempunyai potensi untuk melakukan lebih banyak lagi.”
Gianni Infantino turut berkata bahawa pelaksanaan projek ini sangat baik di rantau Asia dan dia bangga dengan kerjasama ini.
“Ini adalah projek hebat, dan saya benar-benar bangga dan gembira bahawa kita bekerjasama melalui stadium AFC dan FIFA ini yang boleh menjadi langkah baru di rantau Asia yang sangat penting.”
Stadium ini meliputi kira-kira 580,000 kaki persegi dengan kapasiti 10,000 penonton dan mempunyai padang bola sepak FIFA berkualiti tinggi. Antara ciri-ciri utama termasuk tribun media terkini, bilik khas untuk jurulatih, dan ciri air yang mencorakkan di pintu masuk stadium.
Nota:
Imej – AFC.com