Selepas hampir dua minggu berunding, sekitar 200 buah negara di Persidangan Pihak-Pihak (COP) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkenaan dengan Perubahan Iklim ke-28 (COP28) di Dubai, menerima guna penilaian global yang menggesa peralihan daripada bahan api fosil.
Dalam penilaian global itu, ia bertujuan untuk mensejajarkan pelan iklim mereka dengan Perjanjian Paris 2015 yang mana ia menggesa negara pihak menghadkan kadar kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius.
COP28 dijadualkan tamat pada 12 Disember namun pertelingkahan yang berlaku tentang frasa “menghentikan secara berperingkat” kebergantungan bahan api fosil membuatkan mesyuarat itu dilanjutkan.
Sebelum itu, lebih 130 negara, saintis dan pertubuhan masyarakat sivil menggesa sama ada melaksanakan “penghentian beransur-ansur” atau pengurangan beransur-ansur” penggunaan bahan api fosil tetapi ia tidak dinyatakan secara jelas dalam draf komitmen.
Namun, dalam perbincangan lanjut telah menghasilkan kompromi yang menggesa setiap negara pihak menyumbang kepada usaha global dengan melaksanakan “peralihan” daripada penggunaan bahan api fosil dan ia perlu dipercepatkan supaya matlamat sifar bersih dapat dicapai menjelang 2050.
Pada 13 Disember ia telah dimuktamadkan oleh presiden COP28. Dr Sultan Ahmed Al-Jaber yang disambut dengan tepukan gemuruh perwakilan termasuk Ketua Iklim Pertubuhan PBB, Simon Stiell.
“Kita telah menggubal pelan tindakan yang kukuh bagi memastikan sasaran 1.5 darjah celsius dapat dicapai. Dalam kata sepakat ini, buat pertama kali ada ‘hitam putih’ tentang bahan api fosil,” kata Al-Jaber.
Oleh kerana ia julung kali dizahirkan dalam dokumen perbincangan PBB sejak 30 tahun lalu berkenaan dengan iklim, ramai menganggap ia sebagai “permulaan kepada pengakhiran bahan api fosil”.
Namun, terdapat sesetengah perwakilan meluahkan rasa kecewa kerana perjanjian yang dimuktamadkan itu tidak menyebut tentang “menghentikan secara beransur-ansur” bahan api fosil yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global.
Malah, dilaporkan timbul sedikit kekecohan di dewan pleno apabila Perikatan Negara-Negara Pulau Kecil yang terdiri dari 39 negara berkata ia tidak ada dalam dewan semasa perjanjian diterima kerana masih menyelaraskan maklum balas dari negara-negara ahli.
Menurut perunding kumpulan itu, Anne Rasmussen dari Samoa, perjanjian itu “bagus” tetapi kecewa kerana tidak melibatkan mereka malah, perjanjian itu dikatakan agak “lompang”.
“Seperti biasa,kita berikan kelebihan besar kepada perniagaan sedangkan apa yang kita perlukan sekarang ialah langkah kritikal dalam tindakan kita,” katanya. – BERNAMA