Cadangan mengadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutamanya di ibu negara akan dibincangkan dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurut Menteri di JabatanPerdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha berkata beliau mengambil maklum cadangan tersebut namun ia perlu diperhalusi.
“Bagaimanapun kalau kita tengok sebenarnya ia (PBT) di bawah (bidang kuasa) KPKT, dan saya tidak menolak akan kepentingannya, jadi apa pun nanti saya juga akan berbincang dengan menteri KPKT (Nga Kor Ming) untuk memastikan bagaimana perkara ini dapat dilihat dan ditinjau lebih teliti,” katanya selepas Majlis Sambutan Selamat Datang dan Sesi Taklimat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Menara DBKL.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Tan Kok Wai menggesa kerajaan untuk memulakan pilihan raya PBT di ibu negara untuk menyemarakkan demokrasi. Katanya, ia bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan. – BERNAMA