Letupan di Iran: Hampir 100 orang terbunuh di Wilayah Kerman

Pejabat Iran memberitahu bahawa terdapat dua letupan telah berlaku di wilayah Kerman, sebuah daerah yang terletak di tenggara negara itu, telah menyebabkan hampir 100 orang terbunuh ketika majlis upacara mengenang komander Qassem Soleimani sedang berlangsung.

TV Iran melaporkan letupan pertama dan kemudian letupan kedua berlaku selepas 15 minit acara ulang tahun keempat berlangsung di tanah perkuburan di mana tempat Qassem Soleimani dikebumikan.

Setakat ini, tiada sesiapa yang mengaku bertanggungjawab ke atas letupan tersebut.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi, mengutuk dengan menggelarnya sebagai “jenayah keji dan tidak berperikemanusiaan,” dan pucuk pimpinan tertinggi negara Iran, Ayatollah Khamenei, bersumpah untuk membalas dendam ke atas letupan berkembar tersebut.

“Penjenayah yang kejam … harus tahu bahawa mereka akan ditangani dengan tegas mulai sekarang dan … tanpa ragu akan ada tindak balas yang keras,” kata Khamenei dalam satu kenyataan.

MALAYSIA, RUSIA DAN TURKI MENGUTUK SERANGAN

Beberapa negara termasuk Malaysia, Rusia, Arab Saudi dan Turki turut mengutuk serangan itu, dan Setiausaha Agung PBB menggesa supaya pelaku diheret ke muka pengadilan.

Menteri Kesihatan Iran, Bahram Eynollahi, memberitahu bahawa jumlah kematian yang dicatatkan ialah 95 orang dan mengatakan seramai 211 orang yang lain cedera, menjadikannya serangan paling maut dalam sejarah Republik Islam itu yang pernah menghadapi beberapa insiden serupa dari pelbagai kumpulan, termasuk Negara Islam.

Iran sebelum ini pernah menyalahkan Israel atas serangan ke atas individu atau tempat di dalam sempadan negaranya namun, dakwaan itu tidak pernah disahkan atau dinafikan oleh Israel.

Seorang pegawai yang tidak dinamakan memberitahu agensi berita IRNA bahawa “dua bahan letupan yang ditanam di sepanjang jalan menuju ke Tanah Perkuburan Syahid Kerman telah diletupkan dari jauh oleh pengganas.”

PULUHAN MAYAT BERDARAH

Arab News memberitahu bahawa terdapat video yang disiarkan oleh media Iran menunjukkan berpuluh-puluh mayat berselerak dengan berlumuran darah. Orang ramai dilihat cuba membantu mangsa yang terselamat. Manakala yang lain bergegas meninggalkan kawasan letupan.

“Saya mendengar bunyi yang sangat kuat dan kemudian merasakan sakit di belakang saya … kemudian saya tidak dapat merasakan kaki saya,” kata seorang wanita yang cedera di hospital Kerman kepada TV negara itu.

Beberapa agensi berita Iran yang lain mengatakan bahawa mungkin jumlah mangsa yang cedera adalah jauh lebih tinggi.

“Bunyi yang dahsyat kedengaran di sana, walaupun semua langkah keselamatan dan keselamatan dilakukan. Perkara itu masih dalam siasatan,” kata Reza Fallah, ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Kerman.

Kerajaan Iran mengumumkan bahawa Khamis akan menjadi hari berkabung.

Walaupun pihak berkuasa tidak menyalahkan secara terbuka namun, komander tertinggi pasukan Quds Iran, Esmail Qaani berkata, serangan itu dilakukan oleh “ejen rejim Zionis (Israel) dan Amerika Syarikat.”. Sebelum ini Tehran sering menuduh musuh ketatnya, Israel dan Amerika Syarikat terlibat dalam mana-mana serangan di dalam negara itu.

Sementara itu, jurucakap Amerika Syarikat, Matthew Miller berkata mereka tidak terlibat dalam apa-apa kejadian letupan di Iran pada hari Rabu dan percaya bahawa Israel turut tidak terlibat dalam insiden itu. – Arab News

PERDANA MENTERI DS ANWAR IBRAHIM UCAP TAKZIAH

Perdana Menteri DS Anwar Ibrahim menerusi laman Facebooknya turut mengucapkan takziah kepada Iran dan rakyat negara itu berhubung insiden pengeboman di wilayah Kerman.

“Amat menyedihkan tatkala beberapa bom dilaporkan meledak di Wilayah Kerman berdekatan Iran semalam. Ia telah merenggut hampir seratus nyawa yang tidak berdosa dan telah mencederakan lebih dua ratus yang lain. Malaysia membantah dan mengecam serta mengutuk tegas sebarang bentuk keganasan ke atas mereka yang tidak berdosa.

“Sudah hampir tiga bulan dunia menyaksikan pembantaian Israel ke atas mereka yang tidak berdosa di Palestin dan yang terbaru di Lubnan dua hari yang lalu.

“Malaysia mengutus takziah kepada negara sahabat Republik Islam Iran dan warganya, dan Malaysia turut berdukacita dan bersolidariti. Malaysia juga menggesa agar dalang aksi ganas ini diheret ke muka pengadilan.

Di tahun baharu ini, Malaysia ingin mengajak dunia untuk ikut membantah budaya ganas dan rakus dan selamatkan kemanusiaan sejagat.” Katanya.

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *