Biasanya, kebanyakan senibina akan memfokuskan kepada bentuk fasad atau rupa bentuk bangunan tu dari luar. Namun, ia berbeza dengan projek terbaru NEOM ini. Ia direka diluar dari kebiasaan dalam dunia senibina dengan fasadnya hanya dapat dilihat dari dalam.
Pada 10 Januari 2024, Arab Saudi melalui NEOM telah mengumumkan satu lagi ruang mewah baru yang diberi nama Aquellum. Aquellum ialah kawasan peranginan dan penginapan mewah yang didirikan di sebalik gunung di pergunungan Teluk Aqaba.
Aquellum terletak di dalam gunung setinggi 450 meter di tepi laut Teluk Aqaba. Senibina Aquellum yang ditonjolkan tidak terikat dengan mana-mana rekabentuk senibina yang biasa dilihat di seluruh dunia.
Untuk memasuki Aquellum, pengunjung perlu menggunakan laluan air dan melalui terowong bawah tanah untuk masuk ke kawasan bandarAquellum itu. Selepas berada di dalam, anda akan dikejutkan dengan keindahan struktur senibina di dalamnya yang sangat futuristik dan dibina secara vertikal setinggi 100 meter.
Perbezaan suasana yang sangat ketara di antara bahagian luar dan bahagian dalam. Di luarnya hanya kelihatan sepeti kawasan pergunungan yang tidak ada apa-apa yang mengujakan. Namun, disebaliknya, ia lengkap dengan ruang penginapan seperti hotel, apartment, ruang membeli belah, ruang makan, ruang rekreasi, hiburan dan pelbagai lagi yang disatukan dalam satu struktur bangunan atau satu ruang.
Walaupun keliling bandar itu tertutup dengan gunung tetapi cahaya matahari tetap dapat memasuki ruang dalamnya melalui bahagian atas struktur bandar itu.
Pengunjung juga boleh ke tingkat atas sekali yang terdapat ruang-ruang taman terbuka dan melihat pemandangan lautan dan pergunungan di sekitarnya.
Selaras dengan matlamat NEOM untuk memelihara alam semula jadi, projek ini menggabungkan senibina, alam semula jadi dan teknologi terkini dalam satu pembangunan.
Pembangunan terbaru yang dimumkan ini adalah susulan kepada pengumuman bandar atau wilayah moden sebelumnya iaitu Leyja, Epicon, Siranna, Utamo, dan Norlana, yang juga merupakan destinasi pelancongan lestari yang terletak di Teluk Aqaba.
Sumber: NEOM. Imej: NEOM
Apapun, disebalik projek besar Arab Saudi ini, ramai yang masih menunggu apakah tindak balas mereka terhadap apa yang berlaku di Palestin. Setakat ini, belum ada tanda-tanda positif yang dikeluarkan oleh Arab Saudi dan beberapa negara Arab yang lain.