10 Januari 2024 adalah detik bersejarah apabila Menara Merdeka 118 telah dilancarkan secara rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diiringi DYMM Seri Paduka Baginda Raka Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

YDP Agong Memuji Projek Pembangunan
Yang di-Pertuan Agong memuji pembangunan projek tersebut dan usaha mengembalikan mercu tanda bersejarah Stadium Merdeka yang berada dalam Presint Menara 118 itu.
“Saya ingin mengajak rakyat Malaysia untuk melihat menara Merdeka 118 ini sebagai sebuah kejayaan meniti liku-liku kemerdekaan sehingga sebuah negara yang serba rencam dan majmuk dapat disatukan atas semangat nasionalisme yang tinggi.
“Menara ini sebenarnya adalah symbol bahawa kita meraikan Khazanah kepelbagaian negara sebagai realiti wajah Malaysia yang merdeka,” katanya ketika berucap. (- Berita RTM)

Menara Merdeka 118 merupakan projek pembangunan bangunan pencakar langit yang dicadangkan pada tahun 2014 semasa era pemerintahan DS Najib Razak selaku Perdana Menteri Malaysia ketika itu.
Menara Kedua Tertinggi Di Dunia
Dengan ketinggian 678.9 meter atau 2,227 kaki, ia sekaligus menjadikannya sebagai menara tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di dunia mengatasi Shanghai Tower di China dan Makkah Royal Clock Tower di Arab Saudi. Burj Khalifa kekal sebagai menara tertinggi dengan ketinggian 828 meter atau 2,717 kaki.

Projek itu, menurut Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, ia adalah gambaran aspirasi PNB untuk mengukuhkan kewangan rakyat, merentasi generasi selain symbol kepada kemajuan dan Pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara.
“Kami berbesar hati atas perasmian Menara Merdeka 118. Ia akan menjadi destinasi Baharu yang menarik bagi rakyat Malaysia dan pelawat antarabangsa. Komponen-komponen Presint Merdeka 118 telah dipilih dengan teliti untuk menarik pengunjung dari jauh dan dekat dan akan menjadi salah satu destinasi wajib dikunjungi oleh semua pelawat ke Kuala Lumpur.

Beliau juga bersyukur dengan perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah dengan kapasiti 3,000 orang telah pun memulakan solat berjemaah yang terletak tidak jauh dari lokasi Menara itu.
Pengiktirafan Kelestarian Penarafan Hijau & UNESCO
Menara Merdeka 118 mengandungi 83 Tingkat ruang pejabat premium dengan beberapa tingkat teratas akan menempatkan dek pemerhati dan Hotel Park Hytatt Kuala Lumpur. Menara Merdeka 118 juga menyasarkan standard kelestarian bertaraf platinum dalam 3 penarafan hijau oleh Leadership in Energy and Environmental Design (LEED), Green Real Estate (GreenRE) dan Green Building Index (GBI).
Menurut PNB, Menara Merdeka 118 juga akan memperoleh pensijilan terkemuka WELL daripada International WELL Building Institute Asia Pacific yang merujuk kepada kesejahteraan penghuni menara dan masyarakat sekeliling.
Kawasan pembangunan seluas 40 ekar itu meliputi dua kawasan bersejarah iaitu Stadium Negara dan Stadium Merdeka. Stadium Merderka telah dibaik pulih dalam usaha memelihara warisan negara dan telah menerima pengiktirafan UNESCO bagi Program Baik Pulih Warisan Budaya.
Pembangunan Masyarakat Setempat
Menurut Pengerusi PNB, Menara 118 akan memberi impak positif kepada masyarakat sekitarnya termasuk menyokong punca pendapatan setempat. Geran Komuniti Merdeka juga telah diperkenalkan pada 2021 bagi memperkasakan penduduk setempat yang merangkumi 4 kawasan utama iaitu perniagaan, sukan, seni & budaya dan pendidikan. Ia telah diperluaskan kepada Cycle Two pada 2023 untuk menambah jumlah penerimanya yang menyokong 8 projek menarik.
- Menara Merdeka 118
- Pemilik: PNB, PNBMVSB
- Arkitek: Fender Katsalidis Architects, RSP Architects Planners & Engineers
- Aras: 83 tingkat
- Lokasi: Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur
- Bandar: Kuala Lumpur
- Negara: Malaysia