Dalam keadaan sebahagian dunia hampir melupakan serangan di Gaza, satu lagi cadangan sebagai langkah untuk melaksanaan gencatan senjata telah mengundang kekecewaan dunia.
Seperti yang dilaporkan Al-Jazeera, Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan kuasa vetonya terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata dilaksanakan dengan segera yang mana ketika ini serangan tanpa perikemanusiaan sedang rancak dilakukan di wilayah Rafah.
Keputusan AS yang menolak cadangan itu dilihat seperti sengaja ‘melambat-lambatkan’ harapan dunia yang inginkan keganasan yang berlaku di Gaza itu dihentikan dengan segera mungkin. Tindakan itu memang sengaja dalam erti kata lain tindakan yang hanya ‘memberi laluan’ atau ‘lampu hijau’ kepada israel untuk terus melaksanakan ‘kerja’ mereka.
Percaya atau tidak, sebagai ramalan kami berasaskan kepada tindakan terbaru AS itu, dijangka AS hanya akan menyokong gencatan senjata dan ‘berpura-pura’ menunjukkan perihatin terhadap Gaza dan rakyat Palestin selepas misi israel di tanah Gaza hampir atau sudah selesai.
Dalam undian terbaru itu, sebanyak 15 anggota telah bermesyuarat dan keputusannya 13-1. Yang satu itulah Amerika Syarikat yang tidak tahu malu dengan tindakan mereka. United Kingdon pula seperti biasa hanya bertindak seperti orang kehilangan ‘akal’ atau ‘berpura-pura’ tidak masuk campur dan tiba-tiba tidak tahu hendak membuat keputusan.
Rentetan keputusan itu, dunia melahirkan rasa kecewa yang amat tinggi dan mengutuk tindakan AS terhadap draf itu.
China, melalui dutanya Zhang Jun ke PBB menyatakan “kekecewaan dan rasa tidak puas hati yang kuat” terhadap AS seperti yang dilaporkan Xinhua.
Menurut Zhang, veto Amerika Syarikat memberikan mesej yang salah malah mendorong keganasan menjadi lebih teruk.
“Tidak ada yang berbeza daripada memberi lampu hijau kepada penyembelihan berterusan. Hanya dengan memadamkan api perang di Gaza, dunia dapat menghalang kebakaran neraka daripada menyelubungi seluruh rantau ini,” kata Xinhua.
Rusia turut menyatakan pendirian yang sama dengan menuduh AS sengaja bermain masa supaya israel dapat menyelesaikan rancangan tidak berperikemanusiaan di Gaza. Memaksa rakyatPalestin lari dan memudahkan kerja-kerja ‘pembersihan’ israel.
Namun, Rusia menyatakan pendirian tidak berputus asa dengan keputusan jahat itu.
Perancis juga menzahirkan kekecewaan dengan keputusan terkini di PBB sambil menyifatkan resolusi gencatan senjata PBB tidak boleh pakai. Perancis menegaskan bahawa mereka akan terus berusaha ke arah gencatan senjata di Gaza dapat dilaksanakan segera.
Algeria turut mengatakan usul gencatan senjata PBB sekali lagi gagal dan memberi amaran bahawa keputusan itu akan memberi kesan yang mendalam kepada Timur Tengah secara keseluruhannya.
Duta Algeria, Amar Bendjama berkata, masyarakat dunia perlu bertindak balas terhadap gesaan untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin dengan menggesa gencatan senjata dilaksanakan segera. Keputusan yang tidak betul yang berlaku pada hari ini akan mengundang risiko yang besar bukan sahaja kepada rantau itu malah kepada seluruh dunia.
Hamas pula berkata, keputusan AS sebenarnya memberi laluan kepada israel untuk menggantikan penduduk Palestin.
“Presiden Joe Biden dan pentadbirannya bertanggungjawab secara langsung untuk menggagalkan resolusi gencatan senjata di Gaza,” kata Hamas.
Menurut Hamas, tindakan Amerika dianggap memberi lampu hijau bagi kerja-kerja pencerobohan dan akan melakukan lebih banyak pembunuhan orang-orang yang tidak bersalah melalui serangan bom dan kebuluran.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, veto Amerika Syarikat memberi ‘lampu hijau’ tambahan kepada israel melakukan pencerobohan terhadap penduduk Gaza dan serangan di Rafah.
Presiden Palestin berkata, AS bertanggungjawab terhadap ‘sokongan dan perlindungan’ kepada serangan israel terhadap rakyat Palestin. Beliau turut menyifatkan AS sebagai rakan kongsi dalam jenayah pembunuhan beramai-ramai oleh israel.
Qatar dan Arab Saudi masing-masing menzahirkan kekecewaan dengan mengatakan keperluan untuk memperbaharui PBB dalam misi mengekalkan keamanan dan keselamatan tanpa double standard. Qatar berjanji akan memudahkan usaha pelaksanaan gencatan senjata.
Norway dan Cuba juga menyatakan kekesalan terhadap keputusan veto AS. Cuba juga menyifatkan AS sebagai rakan jenayah israel kerana membiarkan rakyat Palestin dibunuh dan dipaksa pindah.
Amnesty International sebuah organisasi hak asasi manusia berkata, AS mempunyai kuasa veto yang sepatutnya melindungi rakyat Palestin yang ditindas tetapi lebih memilih jalan sebaliknya.
Sumber: Aljazeera, UN, Gaza Now FB