Selepas dua tahun tertangguh, akhirnya pemilik pangsapuri PR1MA Larkin boleh menarik nafas lega apabila kunci akan mula diserahkan pada 1 Mac ini, lapor The Star Online.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, kelewatan itu berpunca daripada pihak pemaju yang masih belum memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC)1 walaupun kediaman berkenaan telah siap dua tahun lalu.
Sebelum ini, pihak pemaju sedang membaiki jalan ke pintu masuk kediaman yang menyebabkan pemilik terpaksa menunggu sehingga siap. Ketika ini, kerja-kerja membaiki jalan telah pun selesai dan dijangka CCC akan dapat dikeluarkan dalam masa terdekat sebelum kunci diserahkan kepada pemilik kediaman.
Akibat kelewatan itu, pembeli terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan seperti rumah sewa sementara menunggu kunci diserahkan.
Selain Datuk Mohd Jafni, turut hadir Menteri Besar Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor.
Tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sama-sama ‘turun padang’ walaupun projek itu di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan adalah tindakan yang wajar demi memastikan rakyat negeri itu mendapat manfaat dan bersama-sama membantu menyelesaikan masalah yang perlu ditanggung rakyat.
- 1 CCC bermaksud Certificate of Completion and Compliance / Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan
- Imej : PR1MA