Bagi memantapkan pembangunan sesebuah bandar, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 5 Februari 2024 lalu menitahkan supaya 50% daripada kalangan Ahli Majlis yang dilantik di Majlis Bandaraya DiRaja Klang (MBDK) terdiri dari golongan professional.
Saranan baginda Sultan Selangor itu dibuat selepas menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor.
“Jika boleh beta cadangkan jumlah golongan profesional perlulah sekurang-kurangnya memenuhi 50 peratus dari jumlah keseluruhan ahli majlis.
“Di samping itu, ahli-ahli majlis juga perlu menggambarkan komposisi kaum dan populasi sesuatu kaum yang menetap di Bandaraya Klang agar semua kaum dapat diwakili oleh wakil mereka mengikut jumlah yang berpadanan dengan jumlah sesuatu kaum,” titah baginda dipetik daripada Berita Harian.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan kepada ahli-ahli majlis, Datuk Bandar dan kakitangan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dan berintegriti.
Bersetuju Dengan Saranan Sultan
Saranan Sultan Selangor amat dipersetujui menurut kepada pandangan dan pendapat kami sebagai rakyat. Ini adalah kerana, apabila ahli majlis yang dilantik terdiri daripada ahli politik adakalanya tidak memberi banyak kebaikan kepada rakyat dan penduduk tempatan.
Kebanyakan ahli majlis yang terdiri daripada kalangan ahli politik sebenarnya lebih banyak berkhidmat untuk parti politik mereka sendiri. Ada juga yang hanya berkhidmat di kawasan yang banyak memberi sokongan kepada parti yang diwakili berbanding kawasan yang terdiri dari parti lain.
Walaupun titah baginda itu merujuk kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) namun, ia boleh dan sepatutnya dapat dipraktikkan di semua PBT di seluruh negara.
Melantik golongan profesional sebagai ahli majlis adalah jalan terbaik untuk memastikan pembangunan dalam sesebuah bandar itu dapat dilaksanakan dengan berkesan. Golongan profesioanl mempunyai kepakaran di dalam bidang masing-masing yang boleh memberi pandangan secara terbuka dan menyeluruh serta lebih spesifik. Berbanding ahli politik, adakalanya tiada pengalaman dan tiada latar belakang yang bersesuaian dengan bidang atau skop kerja.
Selain daripada itu, untuk yang bukan golongan profesional, dicadangkan mereka perlu menjalani latihan atau kursus yang berkaitan dengan pengurusan dan kepimpinan serta sekurang-kurangnya mempunyai latar belakang pendidikan yang baik seperti memiliki ijazah.
Secara keseluruhan, peranan golongan profesional untuk terlibat sebagai ahli majlis dan keperluan untuk memastikan perwakilan yang adil dari semua lapisan masyarakat adalah aspek yang penting dalam pembangunan bandar dan komuniti yang berkesan. Titah dan cadangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menunjukkan keperluan yang tinggi dalam meningkatkan proses pentadbiran tempatan, sementara penglibatan 100% ahli politik mungkin boleh mempengaruhi atau menghalang keputusan pembangunan. Manakala dengan melibatkan kedua-dua golongan ahli politik dan ahli profesional pula boleh menjadi semak dan imbang demi memastikan pembangunan yang berkesan.
Dengan mengambil langkah-langkah untuk memastikan kehadiran golongan profesional dalam ahli majlis, serta mewakili semua kaum dengan adil, kita dapat membina masyarakat yang lebih seimbang dan dinamik. Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan bandar, kita harus terus berusaha mencari jalan terbaik dan melibatkan pihak yang mempunyai kepakaran bagi menjadikan perkhidmatan awam lebih efisien, berintegriti, dan berorientasikan kepada kepentingan rakyat. Semua ini akan membawa kepada pembangunan bandar yang lebih baik dan memenuhi keperluan dan aspirasi penduduk tempatan.