PKNS: MB Selangor nafi perbadanan itu alami kewangan yang teruk

Sebagai menjawab kepada tuduhan bahawa PKNS sedang mengalami masalah kewangan yang teruk, Menteri Besar Selangor menegaskan sebaliknya.

Tuduhan bahawa PKNS mengalami kerugian sebanyak RM5.7 bilion adalah tidak berasas.

“PKNS masih memperoleh keuntungan daripada pendapatan utama operasinya. Aliran tunai PKNS juga berada pada tahap yang lebih baik di mana ia mampu membayar semua liabiliti perbadanan berdasarkan operasi dan bukan daripada pendapatan sukuk atau pinjaman yang dibuat.

“Sumber pendapatan PKNS dari 2018 hingga 2022 adalah daripada jualan bangunan, jualan tanah dan penswastaan. Manakala pendapatan utama PKNS pada tahun-tahun tersebut adalah daripada jualan tanah yang berjumlah kira-kira 60 hingga 80 peratus,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebagai menjawab soalan Ketua Pembangkang Selangor, Azmin Ali.

IMEJ: FREEPIK

Azmin yang memetik laporan bertajuk “The Awakening” yang mendedahkan bahawa prestasi kewangan PKNS pada 2023 berada dalam keadaan buruk iaitu berada dalam kedudukan tunai bersih negatif.

Azmin, yang pernah menggalas jawatan menteri besar Selangor sebelum ini turut meminta penjelasan daripada kerajaan negeri Selangor selepas PKNS menjual hak pembangunan PJ Sentral kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dengan nilai RM270 juta.

Selain itu, Azmin turut memetik laporan akhbar The Edge pada 29 Februari lalu bahawa Tropicana Corp Bhd memperoleh sebidang tanah pegangan pajak di Kota Damansara pada harga RM224 juta.

Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata, keputusan menjual hak itu adalah untuk keluar daripada ‘perangkap aliran tunai’.

“Sebahagian daripada pengalaman kami bekerja dengan sektor swasta tidak semua mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan. Saya ambil, sebagai contoh, kawasan yang telah kita bangunkan dengan sebuah syarikat, di kawasan Tropicana.

“Kita dapat lihat kos pembangunan di sana bernilai berbilion ringgit, tetapi nilai kerjasama yang kita dapat adalah sekitar RM160 juta daripada nilai pembangunan di kawasan Kota Damansara. Jadi kita tidak mahu lagi mempunyai perjanjian seperti itu.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku sebelum ini kepada PJ Sentral dan masuk perangkap aliran tunai, yang akhirnya memberi kesan negatif kepada kedudukan kewangan PKNS,” katanya. – Malay Mail

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *