NEOM Umum Gidori: Destinasi Golf Eksklusif di Pantai Aqaba

Pengumuman tentang Gidori menandakan satu lagi pembangunan mewah yang akan dibangunkan oleh NEOM. Projek yang diumumkan pada Mac 2024 itu terletak di barat laut Arab Saudi, di tengah-tengah bukit pantai yang menakjubkan di Teluk Aqaba. Gidori muncul sebagai komuniti golf persendirian eksklusif, menawarkan pengalaman hidup yang tiada tandingannya yang menggabungkan kemewahan, rekreasi dan kelestarian.

Di tengah-tengah Gidori terdapat seni bina dengan rekaan berani yang seolah-olah muncul dari tanah dan membentuk struktur yang ternganga dan tergantung. Ia dipadukan dengan persekitaran semula jadi yang lengkap dengan kemudahan hospitaliti mewah, kediaman premium, dan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi, yang mengubah konsep kehidupan yang lebih moden.

Imej: Neom

“Gidori adalah pengalaman komuniti yang terbaik. Ia merangkumi siri ruang yang menawarkan titik hubungan antara manusia dan alam. Apabila kami mula merancang Gidori, kami ingin membina sebuah struktur yang berasal dari tanah. Kerana di alam semulajadi, anda akan menemui keluaran batu yang indah dan menggantung. Jadi idea tersebut adalah, mari kita reka sesuatu yang boleh anda memasuki di bawahnya dan cipta ruang komuniti.” – Igancio Gomez, Arkitek kepada projek Gidori.

Terletak di sepanjang pantai Teluk Aqaba, Gidori disediakan dengan kemudahan padang golf bertaraf dunia yang lengkap dengan pelbagai aktiviti rekreasi, mencipta enklaf ultra-moden untuk para pengunjung dan penduduk tempatan. Rekaan senibina yang kompleks tepi pantai dengan struktur tergantung, menjadi tanda aras reka bentuk yang progresif. Bangunan itu menempatkan 190 unit apartmen mewah dengan pemandangan laut dan disediakan dengan pelbagai pilihan makanan, kedai-kedai runcit berjenama serta ruang taman hijau.

Imej: Neom

“Yang istimewa tentang Gidori adalah pastinya Monolit, sebuah monumen megah yang muncul dari tanah. Di bawah kanopi Monolit, anda akan melihat apartmen-apartmen gantung yang indah ini. Ia hampir seperti graviti tidak wujud di sini.” Kata Lama Al Kharboush, Arkitek Projek Gidori.

Padang golf 18 lubang Gidori disusun melalui landskap yang cantik. Dengan reka bentuk yang penuh inovasi, pemandangan pantai yang memukau, dan penggunaan teknologi terkini, padang golf ini menawarkan pengalaman yang benar-benar unik di samping kemudahan-kemudahan yang canggih disediakan kepada pemain golf. Selain itu, pengunjung boleh belajar bermain golf melalui akademi golf sama ada secara tradisional atau e-sukan yang semakin popular.

Selain padang golf, Gidori menawarkan 200 vila dan rumah persendirian yang direka secara eksklusif dan mewah. Bagi mereka yang mencari tempat penginapan, terdapat sebuah hotel butik mewah dengan 80 bilik yang menawarkan kombinasi unik antara reka bentuk kontemporari dan perkhidmatan. Hotel ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk restoran, ruang santai, spa, gimnasium, kolam renang, dan teater eksklusif.

Selain golf, Gidori juga menawarkan aktiviti luaran seperti berjalan-jalan, berbasikal, dan menikmati keindahan pemandangan sekeliling serta kawasan rehat dan hiburan.

Seiring dengan komitmen NEOM terhadap pemeliharaan alam sekitar dan inovasi, Gidori mewujudkan piawaian baru dalam pembangunan pantai yang bertanggungjawab sebagai destinasi pelancongan pantai mampan NEOM, yang menekankan dedikasi projek terhadap pemeliharaan alam sekitar sambil memberikan pengalaman yang terbaik kepada pengunjung.

Gidori muncul sebagai lambang kemewahan dan kelestarian di dalam landskap NEOM. Ia mencerminkan semangat inovasi dan kemajuan yang menentukan visi kawasan tersebut untuk masa depan. Dengan menjadi sebahagian daripada koleksi destinasi NEOM, Gidori berjanji untuk menetapkan semula piawaian kehidupan dan rekreasi pantai, menjemput pengunjung untuk menikmati dunia kemewahan dan keindahan semula jadi yang tidak dapat ditandingi.

* Sekiranya terdapat pembetulan/pindaan/tambahan boleh terus maklumkan kepada kami di ruangan komen atau contact


Sumber: Neom

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *