Pengenalan
Seni bina Islam adalah warisan seni yang kaya dan unik yang mencerminkan keindahan, keagungan, dan kepelbagaian dalam dunia Islam. Dari pusaka seni bina yang menakjubkan di Andalusia hingga istana-istana megah di Timur Tengah, seni bina Islam menjadi bukti visual dari peradaban yang subur dan kompleks.
Melalui kombinasi estetika dan fungsi yang harmoni, seni bina Islam telah menjadi peranan penting dalam menceritakan kisah peradaban Muslim yang maju. Dari masjid yang meriah hingga istana yang megah, setiap bangunan memancarkan kehadiran yang mengagumkan, mencerminkan nilai-nilai spiritual, sosial, dan intelektual yang menjadi dasar kepada kekayaan budaya Islam.
Senibina Islam Awal
Seni bina Islam mempunyai sejarah yang kaya dan pelbagai, bermula dari zaman awal Islam dengan pengaruh dari tamadun pra-Islam seperti Byzantine, Parsi, dan Rom. Sepanjang berabad-abad, ia telah berkembang dan berpelbagai, mencerminkan konteks budaya, politik, dan agama yang berbeza di pelbagai kawasan dan dinasti.
Perkembangan seni bina Islam bermula pada abad ke-7 Masehi di Semenanjung Arab seiring dengan penyebaran agama Islam. Pada ketika itu, dengan kedatangan Islam, masyarakat Arab dan wilayah-wilayah sekitarnya mengalami transformasi budaya yang signifikan. Bangunan awal seperti Masjid Nabawi di Madinah dan Kubah Batu di Baitulmaqdis, mewakili penyatuan tradisi seni bina sedia ada dengan prinsip-prinsip dan estetika Islam yang baru.
Mengambil inspirasi dari tamadun pra-Islam, seni bina Islam menyesuaikan elemen-elemen seperti kubah, lengkungan, dan motif dalam kerangka Islam. Sintesis ini membentuk asas bagi Zaman Keemasan Peradaban Islam, yang berlangsung dari abad ke-8 hingga abad ke-14.
Pada tempoh ini, dunia Islam mengalami kenaikan dan kemakmuran budaya di bawah khalifah seperti Abbasiyah, Umayyah, dan Fatimiyah. Pemerintah Muslim memberi sokongan kepada pembinaan masjid, istana, madrasah, dan pusat bandar, menyebabkan perkembangan gaya senibina serantau yang berbeza.
Pengaruh seni bina Islam tidak hanya terhad kepada wilayah Arab sahaja. Sebaliknya, dengan cepatnya penyebaran agama Islam, seni bina Islam menyebar ke seluruh wilayah yang dikuasai oleh peradaban Muslim. Dari Sepanyol hingga India, seni bina Islam menjadi ciri khas dari peradaban Muslim yang berkembang. Kepentingan dinamik antara budaya dalam seni bina Islam dapat dilihat daripada penyerapan unsur-unsur budaya dari wilayah-wilayah yang pernah dijajah oleh tamadun Islam yang turut dipengaruhi oleh geografi tempatan, iklim, budaya, dan tradisi pembinaan. Sebagai contoh, seni bina Al-Andalus (Sepanyol Islam) menunjukkan penyatuan unik antara pengaruh Islam, Kristian, dan Yahudi, manakala seni bina Mamluk di Mesir dan Syria menampilkan ukiran batu yang rumit dan butiran hiasan.
Tempoh Mongol dan Uthmaniyyah, dari abad ke-13 hingga abad ke-17, menandakan tempoh peralihan dalam seni bina Islam. Penaklukan Mongol memperluaskan gaya senibina Islam ke Asia Tengah dan subbenua India, manakala seni bina Uthmaniyyah dengan gaya Uthmaniyyah, mensintesiskan elemen Byzantine, Parsi, dan Islam dalam struktur monumental.
Contohnya, pengaruh seni Bizantium dalam seni bina Islam dapat dilihat dari penggunaan mozek dan kubah berbentuk bulat yang menghiasi masjid dan istana. Begitu juga dengan Parsi dan India, yang memberikan sumbangan yang besar dalam bentuk ukiran, khat, dan hiasan geometri.
Abad ke-18 dan ke-19 menyaksikan pengaruh Barat diterapkan dalam seni bina Islam. Pada abad ke-20, terdapat usaha untuk memodenkan reka bentuk seni bina Islam sambil mengekalkan warisan dan elemen-elemen Islamik.
Dengan memahami perkembangan dan perubahan dalam seni bina Islam, adalah jelas bahawa seni bina Islam bukan sekadar hasil daripada satu pengaruh budaya atau tradisi semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan perpaduan unik dari pelbagai elemen budaya, politik, agama, dan zaman yang berbeza. Inilah yang menjadikan seni bina Islam begitu kaya, kompleks, dan mempunyai pengaruh yang meluas secara universal.
Ciri-ciri Seni Bina Islam
Geometri dan Simetri: Asas Estetik Seni Bina Islam
Penggunaan geometri yang kompleks dan simetri yang sempurna adalah salah satu ciri paling menonjol dalam seni bina Islam. Asas estetika ini terlihat dalam setiap aspek senibina dan hiasan seni bina Islam. Corak geometri abstrak, seperti bintang, lingkaran, dan poligon, bukan sekadar hiasan, tetapi juga mengandungi makna simbolik yang dalam.
Motif Geometri Abstrak
Seni bina Islam sering kali dikaitkan dengan motif-motif geometri abstrak yang kompleks. Motif-motif ini terdiri daripada gabungan garis lurus dan lengkung yang disusun dengan teliti untuk menciptakan gambaran visual yang menakjubkan. Contohnya, motif bintang bersilangan seperti bintang lapan atau bintang enam, yang sering ditemukan dalam mozek, ukiran, dan khat.
Bulatan dan Simetri
Bulatan: Dalam senibina Islam, bulatan melambangkan kesempurnaan dan kesatuan. Bentuk ini selalu digunakan dalam hiasan dan rekaan seni bina, dari motif hingga struktur bangunan. Bulatan juga dapat melambangkan keabadian, kerana ia tidak mempunyai titik permulaan atau pengakhiran.
Simetri: Simetri merujuk kepada kesepadanan atau pola yang sama di kedua belah sisi suatu objek atau rekaan. Dalam senibina Islam, simetri sering diterapkan untuk mencipta keseimbangan visual dan estetika yang harmoni. Simetri yang sempurna mencerminkan konsep ketertiban kosmik dan keseimbangan yang diinginkan dalam alam semesta.
Secara umumnya, penggunaan bulatan dan simetri dalam senibina Islam bukan sahaja membawa makna estetika, tetapi juga menyampaikan mesej tentang keagungan Allah dan keharmonian dalam penciptaan-Nya.
Kubah, Dinding, dan Lantai
Kubah masjid, dinding istana, dan lantai bangunan seni bina Islam dihiasi dengan motif geometri. Kubah masjid sering dipenuhi dengan motif bintang untuk mencipta ilusi ruang yang tidak terhad dan menggambarkan langit yang luas di atas. Dinding dan lantai dihiasi dengan mozek, seramik, atau ukiran yang menggabungkan motif geometri dengan kreativiti artistik yang tinggi.
Kemahiran Ukiran dan Hiasan
Seni bina Islam mencerminkan kehalusan dan kepakaran yang tinggi dalam menghasilkan ukiran dan hiasan. Karya halus ini dapat dilihat dalam beberapa cara seperti:
Ukiran Khat (Kaligrafi Arab): Khat, atau seni tulisan Arab, dianggap sebagai bentuk seni yang paling dihormati dalam seni bina Islam. Tulisan Arab, yang sering terdiri dari ayat-ayat Al-Quran atau hadith-hadith dipahat atau diukir dengan indah di atas permukaan bangunan sama ada di luar atau di ruang dalam. Khat tidak hanya menyampaikan mesej keagamaan, tetapi juga menjadi elemen dekorasi yang dapat mencantikkan sesuatu bangunan.
Motif Tumbuh-tumbuhan: Motif tumbuh-tumbuhan yang melingkari dan mengelilingi ukiran dan hiasan juga menjadi ciri khas seni bina Islam. Daun-daun, bunga, dan ranting-ranting digambarkan dengan halus dan elegan, sering kali menggambarkan kehidupan alam dan simbolisme kesuburan dan keabadian.
Dalam seni bina Islam, Islam sangat tegas dalam penghasilan karya seni, dan larangan penggunaan elemen hidup seperti haiwan dan manusia menjadi satu daripada prinsip yang dipegang teguh. Oleh itu, kita jarang menjumpai karya seni Islam yang menonjolkan motif haiwan atau manusia, sebaliknya, motif tumbuh-tumbuhan menjadi pilihan utama untuk diekspresikan, terutamanya dalam seni bina Islam.
Geometri: Selain khat dan motif tumbuh-tumbuhan, seni bina Islam juga mengamalkan penggunaan motif geometri yang kompleks. Motif geometri seperti bintang, bulatan, dan poligon sering digunakan secara meluas untuk menghiasi dinding, siling, dan lantai bangunan. Penggunaan geometri ini tidak hanya memberikan sentuhan dekoratif yang memukau, tetapi juga menggambarkan prinsip-prinsip matematik dan kearifan spiritual dalam Islam.
Ketelitian dan Ketepatan: Salah satu ciri menarik dalam seni bina Islam ialah dari sudut ukiran dan hiasan yang memerlukan ketelitian dan ketepatan yang tinggi. Seniman, Arkitek dan pakar dengan teliti akan memastikan setiap perincian ukiran dan hiasan dilaksanakan dengan sempurna untuk mencipta karya seni yang menakjubkan.
Ini membuktikan bahawa seni bina Islam bukan sekadar mencipta keindahan pada visual, tetapi juga menyampaikan kekayaan budaya, semangat, dan keagungan tradisi Islam dari generasi ke generasi yang lain.
Kekayaan Warna dan Material
Penggunaan warna-warna berani dan bahan-bahan yang berkualiti tinggi merupakan salah satu ciri paling menonjol. Dalam seni bina Islam, warna dan bahan bukan sekadar mempamerkan unsur dekoratif, tetapi juga menyampaikan makna dan mengekspresikan keindahan spiritual. Mozek, seramik, dan kaca berwarna merupakan antara bahan yang digunakan untuk mencipta keindahan visual yang luar biasa dalam seni bina Islam.
Mozek: Mozek adalah teknik seni rupa yang terkenal dalam seni bina Islam. Potongan-potongan kecil dari bahan seperti jubin, batu, atau kaca disusun dengan teliti untuk membentuk corak-corak kompleks dan gambar yang cantik. Penggunaan mozek dalam seni bina Islam membolehkan para arkitek dan seniman untuk mencipta kesan visual, dalam masa yang sama, menambah dimensi artistik dan kekayaan tekstur.
Seramik: Dari lantai yang terdapat di masjid-masjid hingga kepada hiasan di dinding-dinding istana, seramik banyak digunakan untuk menambahkan keindahan dan kekuatan visual dalam seni bina Islam. Teknik dekorasi seperti kilauan (lusterware) dan menyadur (glaze) menambahkan lagi kekayaan warna dan membentuk kilauan yang sangat memukau.
Kaca Berwarna: Kaca-kaca berwarna dipotong dan disusun untuk membentuk panel-panel artistik yang menampilkan motif-motif geometri. Cahaya yang memancar melalui kaca berwarna mencipta kesan dramatik di ruang dalam masjid atau istana untuk mencipta suasana yang mempesonakan di samping membenarkan cahaya semula jadi masuk ke dalam bangunan.
Dengan memanfaatkan kekayaan warna dan bahan yang tersedia, seni bina Islam telah mencapai tingkat keindahan yang luar biasa, memberikan pengalaman estetika yang mendalam kepada orang-orang yang mengamati dan menghargai kehalusan seni.
Fungsi dan Kerohanian
Tidak terhad kepada aspek keindahan visual, senibina Islam juga mengambil kira fungsi yang praktikal serta dimensi kerohanian yang mendalam. Bangunan-bangunan seperti masjid, madrasah, dan istana direka dengan teliti untuk memenuhi keperluan praktikal di samping menyerlahkan pengalaman spiritual umat Islam.
Masjid merupakan contoh terbaik penggabungan fungsi dan kerohanian dalam seni bina Islam. Selain menjadi pusat ibadah utama, masjid juga berperanan sebagai pusat kegiatan keagamaan, sosial, dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh dimanfaatkan. Ketika merekabentuk masjid, perhatian diberikan kepada penyediaan ruang yang sesuai untuk aktiviti ibadah seperti ruang solat, mimbar, dan mihrab, sambil menjaga suasana yang menenangkan dan merangsang refleksi spiritual.
Institusi pendidikan Islam seperti madrasah juga menggabungkan fungsi dan dimensi kerohanian dalam seni bina Islam. Bangunan madrasah tidak hanya menyediakan ruang untuk pembelajaran dan pengajaran agama, tetapi juga mencipta persekitaran yang merangsang pertumbuhan spiritual dan intelektual pelajar. Rekabentuk yang teliti memastikan ruang kelas, perpustakaan, dan ruang diskusi direka untuk meningkatkan atmosfera pembelajaran yang lebih baik.
Sementara itu, istana dalam seni bina Islam juga mengekspresikan hubungan yang rapat antara fungsi dan aspek spiritual. Selain sebagai tempat kediaman pemerintah, istana juga berfungsi sebagai pusat pentadbiran dan aktiviti kebudayaan. Rekabentuk istana merangkumi pelbagai ruang seperti bilik mesyuarat rasmi, ruang penyambutan tetamu, dan pusat pengembangan seni dan ilmu pengetahuan, di samping mencipta aura kemewahan yang menggambarkan kuasa dan semangat pemerintah.
Ringkasnya, fungsi dan kerohanian merupakan dua aspek yang tidak dapat dipisahkan dalam seni bina Islam. Dengan mengambil kira kedua-dua aspek ini, seni bina Islam berjaya mencipta bangunan-bangunan yang tidak hanya praktikal untuk digunakan dalam kehidupan seharian, tetapi juga memberikan pengalaman kerohanian yang mendalam kepada umat Islam.
Kesimpulan
Kemajuan seni bina Islam bukan sekadar sebuah kisah masa lalu, tetapi juga sebuah panggilan untuk meneruskan keindahan yang abadi dan inspirasi yang tak terhad bagi arkitek, seniman dan pereka di seluruh dunia. Dengan merenung ke dalam kekayaan sejarah dan memahami keunikan estetika yang memukau, kita bukan sahaja dapat menghargai, tetapi juga dapat merayakan kehebatan karya seni ini. Seni bina Islam bukanlah sekadar satu titik dalam sejarah; ia adalah cerminan keagungan yang terus berkembang, mengajak kita untuk terus menggali kreativiti, mewarisi nilai-nilai, dan menyuburkan semangat inspirasi dalam setiap lengkungan dan motifnya.
– Oleh Azizi MY @dzcreation.com.my
*Sekiranya terdapat pembetulan/tambahan/pindaan terhadap artikel di atas, boleh terus memaklumkan kepada kami di ruangan komen atau contact
Sumber:
- architecturecourses.org
- Foto imej atas: Omar Elsharawy
- Unsplash.com