Bangunan Bersejarah di Selangor & Kuala Lumpur: Menyusuri Jejak Sejarah Negeri Maju

Pendahuluan

Selangor, negeri yang terkenal dengan kemajuan dan kepelbagaian budayanya, bukan hanya dikenali kerana pembangunan pesatnya tetapi juga kerana kekayaan sejarahnya. Di tengah-tengah hiruk-pikuk kehidupan moden, tersembunyi permata bersejarah yang menceritakan kisah zaman lampau negeri ini. Bangunan-bangunan bersejarah ini, beberapa daripadanya berasal dari era kolonial dan tempoh sebelum merdeka, memberikan kita pandangan yang berharga tentang evolusi seni bina, budaya, dan warisan Selangor.

Dalam artikel ini, kita akan mengembara bersama untuk meneroka beberapa bangunan bersejarah yang bukan sahaja memaparkan seni bina yang megah tetapi juga memainkan peranan penting dalam sejarah negeri ini.

1. Bangunan Sultan Abdul Samad: Ikon Sejarah Malaysia

Zaman: Kolonial (1894-1897)

Arkitek: A.C. Norman

Imej : © Azizi MY @ DZ Creation Studio

Terletak di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad adalah salah satu bangunan yang paling dikenali dan bersejarah di Malaysia. Direka oleh arkitek A.C. Norman, bangunan ini menggambarkan gabungan gaya seni bina Moor, Gothic, dan Barat yang mengagumkan. Pada zaman penjajahan British, bangunan ini menempatkan beberapa jabatan kerajaan utama dan menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa penting dalam sejarah Malaysia, termasuk pengisytiharan kemerdekaan pada tahun 1957. Struktur megahnya dengan menara jam dan kubah yang menonjol, masih kekal sebagai simbol kebanggaan negara dan sering menjadi latar belakang untuk sambutan Hari Kebangsaan serta acara kebudayaan.

Pada abad ke-19, Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada wilayah Selangor, yang merupakan salah satu daripada negeri-negeri Melayu yang diperintah oleh Sultan. Bangunan Sultan Abdul Samad yang dibina pada tahun 1894 hingga 1897 sebagai pejabat pentadbiran kerajaan British di Malaya, dan ia menjadi pusat pentadbiran utama untuk Negeri Selangor serta kawasan-kawasan lain di sekelilingnya.

Walaupun Bangunan Sultan Abdul Samad terletak di Kuala Lumpur, ia mempunyai kaitan yang mendalam dengan sejarah Selangor, terutamanya dalam konteks pentadbiran dan perkembangan negeri pada zaman penjajahan British. Ia merupakan salah satu ikon yang menggambarkan kepentingan Kuala Lumpur dan Selangor dalam sejarah Malaysia.

Hari ini, Bangunan Sultan Abdul Samad berfungsi sebagai mercu tanda penting dan diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara. Bangunan ini terus menyimpan memori berharga dari zaman lampau dan menarik para pengunjung bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia yang ingin merasai keagungan seni bina kolonial.

Lokasinya terletak berhadapan dengan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan berhampiran dengan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad yang dipisahkan dengan Sungai Klang.

Ciri-Ciri:

  • Gaya Seni Bina: Bangunan ini menggabungkan gaya seni bina Moghul dan Moorish
  • Menara: 3 Buah Menara
  • Menara Jam: 41.2 meter
  • Arkitek: Arthur Charles Alfred Norman
  • Ketinggian bangunan: 40 meter
  • Peristiwa Bersejarah: Di hadapan bangunan ini, bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957, dan bendera Jalur Gemilang dikibarkan, menandakan era kemerdekaan.

2. Istana Bandar: Kediaman Diraja yang Megah

Tahun dibina: Akhir abad ke-19

Imej: © PD Kuala Langat

Istana Bandar, yang terletak di Jugra, daerah Kuala Langat, Selangor, adalah contoh terbaik seni bina Melayu tradisional yang dipadukan dengan pengaruh kolonial. Dibina pada akhir abad ke-19, istana ini dibina di atas tanah seluas 12.96 ekar dan pernah menjadi kediaman rasmi Sultan Selangor iaitu Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah sehingga wafatnya pada tahun 1938. Dibina dengan kayu cengal dan marmar berkualiti tinggi, reka bentuknya dikuasai oleh gaya senibina Islam dengan pengaruh India, Timur Tengah, dan sedikit pengaruh Cina. Istana ini juga merupakan saksi kepada pelbagai peristiwa bersejarah yang melibatkan keluarga diraja Selangor antaranya kelahiran cucunya, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1926 yang juga merupakan Sultan Selangor yang ke-8.

Imej: Google Street View

Kini, Istana Bandar telah dipulihkan dan dijadikan sebagai muzium warisan yang terbuka kepada orang ramai untuk dikunjungi. Pelawat boleh menerokai sejarah diraja Selangor dan menikmati keindahan seni bina Melayu yang asli. Selain itu, pengunjung juga boleh mengunjungi Masjid Sultan Alaeddin yang terletak berhampiran dengan Istana, sebuah masjid lama yang telah diubahsuai dengan seni bina yang unik dan penuh dengan nilai sejarah. Tidak jauh dari Istana Bandar, terdapat Makam Sultan Abdul Samad yang terletak di atas bukit Jugra iaitu kira-kira 5 kilometer jaraknya dari Istana.

Istana ini juga pernah dijadikan sebagai Pusat Kraftangan dan kemudian dijadikan sebagai Pusat Tahfiz sementara kepada pelajar Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Selangor sebelum bangunan pusat tahfiz yang baru dibuka berhadapan dengan Istana ini.

Ciri-Ciri:

  • Seni Bina: Gabungan gaya senibina Islam, India dan Timur Tengah serta China. Dibina dengan kayu cengal dan marmar berkualiti tinggi, bangunan ini mempunyai dua tingkat.
  • Bilik: Di dalam istana terdapat pelbagai bilik, antaranya kolam mandi diraja, balai rong seri, ruang makan diraja, bilik tidur, ruang tamu, beranda, dan dapur.
  • Lokasi: Jugra, Kuala Langat, Selangor.
  • Kegunaan terkini: Istana Bandar Jugra dibuka setiap hari pada waktu siang dan tiada bayaran masuk.

3. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz (Masjid Biru): Simbol Keagungan Islam

Siap dibina: 1988

Arkitek: Dato’ Baharuddin Abu Kassim

Foto: © FB Masjid Sultan Abdul Aziz Shah

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, lebih dikenali sebagai Masjid Biru, adalah masjid terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Masjid Istiqlal, Jakarta, Indonesia. Dengan kubah biru dan perak yang menakjubkan serta menara tinggi yang menjulang, masjid ini adalah simbol keagungan dan kemegahan Islam di Selangor. Reka bentuknya yang mengagumkan tidak hanya mencerminkan keindahan seni bina Islam, tetapi juga menjadi lambang kebanggaan umat Islam di Malaysia.

Masjid ini terus berfungsi sebagai tempat ibadah yang aktif dan menarik ribuan pelawat setiap tahun. Ia juga menjadi tuan rumah kepada pelbagai program keagamaan dan acara rasmi, menjadikannya destinasi yang tidak boleh dilepaskan bagi sesiapa yang ingin memahami kekayaan budaya Islam di Malaysia.

Senibina

Masjid ini dibina di atas tanah seluas 14.6 hektar di tengah-tengah Bandaraya Shah Alam, Selangor. Rekabentuk masjid ini mempunyai pengaruh gabungan reka bentuk Timur Tengah, India dan Melayu. Antara ciri-ciri senibina yang paling menonjol yang terdapat pada masjid ini ialah kubahnya yang berwarna biru dengan ketinggian 106.7 meter dari aras tanah dan berdiameter 51.2 meter. Ia mempunyai panel yang menarik berwarna biru, tahan karat, dan diperbuat daripada kepingan aluminium berlipat yang dapat bertahan beratus tahun lamanya. Selain itu, Masjid ini mempunyai 4 menara yang terletak di setiap sudut bangunan dengan ketinggian 142.3 meter dan merupakan yang ketiga tertinggi di dunia. Manakala ruang dewan solat utama pula mempunyai saiz keluasan 73,000 kaki persegi.

Ciri-Ciri:

  • Rekabentuk: Gabungan senibina Timur Tengah, India, dan Melayu tradisional.
  • Arkitek: Dato’ Baharuddin Abu Kassim
  • Kubah Besar: Tinggi 300 kaki dari permukaan tanah dan garis pusat sepanjang 170 kaki.
  • Bahan Kubah: Kepingan aluminium berlipat dan mempunyai panel berwarna biru yang tahan karat serta tahan lama.
  • Panel Enamel dan Khat: Terdapat panel enamel dengan tulisan khat
  • Penulis khat: Sheikh Abdel Moniem Ali El-Sharkawi dari Mesir untuk lilitan kubah.
  • Sistem Bunyi: Oleh Bolt Beranek dan Newman dari New York.
  • Mihrab dan Mimbar: Disaluti batu marmar antik dari Turki dan dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran. Mimbar oleh pengukir tempatan dan berada di atas empat tiang, dengan bumbung marmar putih Mahsuri setinggi 30 kaki.
  • Dewan Sembahyang Utama: Dewan sembahyang utama berkeluasan 73,000 kaki persegi dan di atasnya terdapat kubah besar yang disokong oleh lapan tiang berbentuk empat persegi.
  • Lampu Candeliar dan Jam Antik: 4 lampu candeliar di ruang dalam masjid, dan jam antik berusia enam ratus tahun sumbangan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
  • Marmar Putih Mahsuri: Tiang dan dinding masjid disaluti marmar putih Mahsuri dari Langkawi.

4. Bangunan Sultan Suleiman @ Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz

Dibina: 1909

Arkitek: Arthur Benison Hubback

Imej: Google View

Terletak di Jalan Stesen, Klang, Selangor, Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz adalah sebuah galeri yang didedikasikan untuk mengenang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor yang terdahulu. Galeri ini menawarkan pandangan mendalam tentang sejarah dan warisan Kesultanan Selangor. Pada mulanya, galeri ini dikenali sebagai Muzium Kenangan dan telah dibina pada tahun 1988 di Jalan Kota Raja, Kampung Jawa, Klang. Selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah menaiki takhta pada tahun 2001, baginda memutuskan untuk menukar Bangunan Sultan Suleiman yang telah didirikan pada tahun 1909 ini menjadi sebuah galeri baru dan secara rasmi dibuka pada 19 Oktober 2007.

Galeri di Bangunan Sultan Suleiman ini direka oleh arkitek Inggeris, Arthur Benison Hubback. Bangunan ini dibina dengan dua tingkat dan pernah digunakan sebagai pejabat pentadbiran tanah oleh kerajaan Inggeris semasa era Malaya Britania dan sebagai markas perang semasa pendudukan Jepun.

Kini, galeri ini mempunyai lebih daripada 2,000 artifak yang menggambarkan sejarah Kesultanan Selangor sejak tahun 1766. Pameran ini merangkumi pelbagai objek sejarah, gambar, dan dokumen yang menceritakan perjalanan dan warisan keluarga diraja Selangor.

5. Gedung Raja Abdullah: Tapak Bersejarah Perlombongan Bijih Timah

Dibina: 1856

Arkitek: A.C. Norman

Imej: © FB Tourism Selangor

Bangunan ini, yang dibina pada tahun 1856 di Pekan Klang, pada asalnya berfungsi sebagai tempat penyimpanan bijih timah di tingkat bawah dan tempat kediaman di tingkat atas. Pada tahun 1853, Raja Abdullah bin Raja Jaafar iaitu adinda kepada Raja Jumaat dari Lukut, telah dikurniakan pangkat “Orang Besar Klang” oleh Sultan Muhammad Shah dan seterusnya beliau berjaya membuka beberapa lombong bijih timah di Ulu Sungai Klang, yang kini dikenali sebagai Kuala Lumpur. Raja Abdullah bertanggungjawab mengutip hasil dan memperdagangkan bijih timah di Lembah Klang bagi pihak Sultan.

Semasa Perang Saudara Selangor pada tahun 1866, gudang ini dijadikan kubu pertahanan oleh pengikut Raja Mahadi yang berkubu di Kota Raja Mahadi, berhampiran Pejabat Majlis Perbandaran Klang sekarang. Residen Inggeris pertama, J.G. Davidson, menjadikan gedung ini sebagai Pusat Pentadbiran Daerah sebelum ia dijadikan Balai Polis Daerah hingga tahun 1970. Kemudian, bangunan ini diubah menjadi Muzium Timah oleh Lembaga Muzium Negeri Selangor. Kerja-kerja konservasi dilakukan oleh Jabatan Warisan Negara bermula pada Disember 2008 dan siap sepenuhnya pada Julai 2009.

Ciri-Ciri Senibina

  • Gaya Anglo-Indian abad ke-19 dengan gabungan elemen tempatan
  • Tingkat bawah tempat penyimpanan & tingkat atas tempat kediaman
  • Rekabentuk memanjang dan tinggi.
  • Aras bawah berlantai simen. Manakala ruang atas berlantai kayu
  • Aras bawah terdapat beberapa ruang berbilik. Aras atas ruang dewan dengan serambi di sekelilingnya.

6. Istana Mahkota Puri: Jejak Sejarah yang Terlindung

Dibina: 1899

Arkitek/Jurureka: Thomas Plowman Hangling King. Dibantu oleh Draughtsman B. Ramakristna Row

bangunan bersejarah di selangor istana mahkota puri, klang. 1899-1957
Imej: Mie AG Supar @ pinterest

Istana Mahkota Puri, yang terletak di Klang, Selangor, adalah sebuah istana bersejarah yang dibina sekitar tahun 1899. Istana ini, pada asalnya, dirancang pembinaannya untuk Sultan Abdul Samad di Bukit Nanas dan kemudian rancangan bertukar ke Bukit Petaling sekitar tahun 1892 hingga 1893. Namun, pada tahun 1894, projek ini dibatalkan. Pada tahun 1897, projek istana ini kembali dihidupkan oleh Raja Bot bin raja Jumaat. Bagaimana pun, pada Februari 1898, Sultan Abdul Samad mangkat sebelum projek istana dilaksanakan.

Cucu kepada Sultan Abdul Samad, iaitu Sultan Alaeddin Suleiman Shah, Sultan Selangor yang kelima, telah memilih Klang di atas tapak seluas 25 ekar di Jalan Langat sebagai tapak baru istana dan pada Mac 1899 tapak akhir dipilih yang terletak di atas bukit yang menghadap kawasan rekreasi Klang.

Reka bentuk Istana Mahkota Puri menyerupai Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, dengan penggunaan kayu dan marmar sebagai bahan utama pembinaannya. Istana ini mempunyai 15 bilik, yang mencerminkan kemewahan dan keanggunan seni bina pada waktu itu.

Selepas kemangkatan Sultan Ala’eddin, istana ini mengalami perubahan fungsi. Pada tahun 1950-an, ia digunakan sebagai asrama pelajar untuk sekolah-sekolah berdekatan. Namun, pada bulan Oktober 1957, Istana Mahkota Puri dirobohkan dan digantikan dengan Istana Alam Shah yang teguh berdiri hingga ke hari ini.

Istana Mahkota Puri bukan sahaja simbol warisan budaya yang kaya di Selangor, tetapi juga mencerminkan sejarah dan tradisi diraja yang penting bagi negeri ini. Walaupun istana ini tidak lagi wujud, kenangan dan sejarahnya tetap hidup dalam ingatan rakyat Selangor.

Ciri-Ciri dan Gaya Senibina

  • Rekabentuk: Menyerupai Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Memanjang dan Tinggi.
  • Gaya Senibina: Gaya Mughal-Eklektik & gaya eropah
  • Bahan binaan: Kayu dan marmar
  • Kos pembinaan: Dianggarkan sekitar $60,000 (nilai pada waktu itu)
  • Status: Roboh

Sumber: abhubback.com

7. Masjid Diraja Sultan Suleiman: Pusat Ibadah Megah di Klang

Dibina: 1932-1933

Arkitek: Leofric Kesteven

Imej: Google View

Masjid Diraja Sultan Suleiman di Jalan Kota Raja, Klang, yang dibina ketika zaman Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah, dibina pada tahun 1932 dan dirasmikan pada tahun 1934. Masjid ini merupakan hadiah daripada kerajaan Inggeris sempena pemasyhuran Klang sebagai pusat pentadbiran Selangor.

Rekabentuknya memaparkan gabungan gaya seni bina Moorish dan Inggeris. Masjid ini pernah memainkan peranan penting sebagai Masjid Besar Selangor sebelum digantikan dengan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang terletak di Shah Alam.

Masjid ini kekal sebagai pusat ibadah yang aktif dan sering digunakan untuk pelbagai aktiviti keagamaan dan kebudayaan. Ia terus menarik perhatian pelawat dengan reka bentuk seni binanya yang megah dan sejarahnya yang mendalam.

Ciri-Ciri dan Rekabentuk

  • Gaya Senibina: Senibina Moorish, art deco dan Inggeris
  • Ruang: Ruang utama berbentuk segi lapan (oktagon) dan bertukar berbentuk bulat pada aras 10 meter
  • Kubah: Berbentuk licin dan separuh bulat. Berwarna kuning. Kubah-kubah kecil menjadi bumbung struktur menara
  • Kubah utama: Berbentuk dua lapis. Kubah kecil di atas kubah besar.
  • Rekabentuk: Diubahsuai kepada bentuk segi empat kerana rekabentuk asal menyerupai bentuk palang salib jika dilihat dari atas

Gaya ukiran seni tatarias masjid ini terpengaruh dengan zaman penjajahan Inggeris. Ia dapat dilihat daripada tetulang struktur bahagian dalam masjid mahupun pada tingkap dan pintunya. Mimbarnya turut mendapat sentuhan klasik gabungan bahan daripada kayu dan besi yang diukir berkerawang. Pada kebiasaannya Sultan Selangor akan bersembahyang di masjid ini bersama-sama jemaah lain pada setiap hari Jumaat.

8. Rumah Api Altingsburg: Penunjuk Jalan Laut

Dibina: 1907

Arkitek: Tidak diketahui

Imej: FB Love Kuala Selangor

Rumah Api Altingsburg, yang terletak di Bukit Malawati, Kuala Selangor, merupakan salah satu mercu tanda bersejarah yang penting di Malaysia. Rumah api ini mempunyai sejarah yang kaya dan berkait rapat dengan perkembangan dan pentadbiran kolonial di kawasan ini.

Sejarah dan Latar Belakang

Rumah Api Altingsburg didirikan pada tahun 1907 oleh pihak kolonial British. Ia dinamakan sempena nama seorang pegawai Belanda yang pernah menjadi Gabenor Jeneral Hindia Timur Belanda pada abad ke-18.

Rumah api ini dibina untuk membantu navigasi kapal-kapal yang melalui Selat Melaka dan Sungai Selangor. Pada masa itu, Kuala Selangor merupakan pelabuhan utama yang sibuk dengan perdagangan timah dan hasil bumi lain. Rumah api ini memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan kapal-kapal yang berlabuh dan berlayar di kawasan tersebut, mengurangkan risiko kemalangan laut.

Rumah Api Altingsburg mempunyai ketinggian sekitar 27 meter dan dibina daripada batu. Ia masih mengekalkan reka bentuk asalnya walaupun telah melalui beberapa kali proses penyelenggaraan dan pemulihan. Rumah api ini juga dilengkapi dengan lampu berkuasa tinggi yang mampu mencapai jarak sehingga 18 batu nautika, membantu pelaut untuk mengesan lokasi daratan pada waktu malam.

Selain fungsi asalnya sebagai penunjuk arah bagi kapal-kapal, Rumah Api Altingsburg kini menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di Kuala Selangor. Pengunjung boleh mendaki Bukit Malawati untuk menikmati pemandangan indah sekitar Kuala Selangor dan melihat rumah api serta monumen bersejarah lain seperti kubu lama, batu hampar, dan makam diraja. Terdapat juga Muzium Sejarah Kuala Selangor yang menampilkan artifak dan maklumat mengenai sejarah kawasan ini.

Pengaruh dan Kepentingan

Rumah Api Altingsburg bukan sahaja penting dari segi sejarah dan navigasi laut, tetapi juga merupakan simbol kecekapan dan teknologi pada zaman kolonial. Kehadiran rumah api ini menunjukkan bagaimana pihak British dan Belanda telah mempengaruhi perkembangan kawasan ini melalui infrastruktur penting yang dibina untuk menyokong aktiviti ekonomi dan keselamatan maritim.

Dengan keindahan semula jadi dan nilai sejarah yang tinggi, Rumah Api Altingsburg terus menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai peninggalan sejarah, tetapi juga sebagai ikon budaya dan simbol warisan yang patut dipelihara untuk generasi akan datang.

Status Terkini: Rumah api ini masih beroperasi dan menjadi tarikan pelancong yang popular. Pengunjung dapat menikmati pemandangan panorama yang indah serta mempelajari lebih lanjut tentang sejarah navigasi di kawasan tersebut.

9. Stesen Keretapi Klang: Hab Pengangkutan Sejarah

Zaman: 1886-1890

Arkitek: Tidak diketahui

Imej: Great Malaysian Railway Journey

Stesen Kereta Api Klang, yang terletak di Bandar Klang, Selangor, adalah salah satu stesen kereta api tertua di Malaysia. Ia mempunyai peranan penting dalam perkembangan ekonomi dan sosial Klang serta Selangor secara keseluruhannya.

Sejarah dan Latar Belakang

Stesen Kereta Api Klang dibuka pada tahun 1886 sebagai sebahagian daripada laluan kereta api pertama di Selangor, menghubungkan Klang dengan Pelabuhan Klang dan Kuala Lumpur. Laluan ini dibina oleh pihak kolonial British untuk mengangkut bijih timah dari kawasan perlombongan ke pelabuhan bagi tujuan eksport.

Pada mulanya, stesen ini dibina daripada kayu. Namun, dengan peningkatan penggunaan dan keperluan infrastruktur yang lebih kukuh, ia kemudiannya diperbaharui menggunakan batu dan konkrit. Pembaharuan ini dilakukan untuk menampung jumlah penumpang dan kargo yang semakin meningkat.

Stesen Kereta Api Klang menjadi pusat penting untuk perdagangan dan pengangkutan di Selangor. Ia mempercepatkan pengangkutan barang seperti bijih timah, getah, dan hasil pertanian lain dari pedalaman ke pelabuhan. Selain itu, ia juga memudahkan pergerakan penduduk antara Klang dan Kuala Lumpur, yang mendorong pertumbuhan ekonomi dan urbanisasi kawasan tersebut.

Pada tahun 1995, stesen ini menjadi sebahagian daripada Laluan Sentul-Port Klang dalam rangkaian KTM Komuter, yang menyediakan perkhidmatan kereta api elektrik yang lebih pantas dan efisien. Penambahbaikan ini termasuk peningkatan kemudahan di stesen, seperti platform yang lebih luas, ruang menunggu yang lebih selesa, dan sistem tiket elektronik.

Hari ini, Stesen Kereta Api Klang terus berfungsi sebagai hab pengangkutan utama, menyediakan perkhidmatan kepada ribuan penumpang setiap hari.

Imej: Great Malaysian Railway Journeys

Ciri-Ciri

  • Reka bentuk asal: Gabungan elemen seni bina kolonial British dengan elemen tempatan.
  • Struktur: Bangunan asal berbumbung tinggi, tingkap besar, dan ruang dalaman yang luas untuk penumpang dan kargo. Beberapa elemen reka bentuk asal masih dipelihara.

Mengunjungi bangunan bersejarah memberikan kita peluang untuk menyelami cerita disebalik pembangunan di negeri ini. Dari istana diraja yang megah hingga ke bangunan masjid, setiap bangunan menawarkan pandangan yang unik mengenai perkembangan senibina dan budaya di Negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Menyusuri tapak-tapak sejarah ini bukan sahaja memberi kita pengalaman yang mendalam tentang masa lalu tetapi juga menggalakkan kita untuk menghargai dan memelihara warisan yang membentuk identiti negeri ini.


* Sekiranya terdapat pembetulan/pindaan/kesalahan/tambahan terhadap maklumat yang dikongsikan di atas, sila maklumkan terus kepada pihak kami di ruangan komen atau di bahagian ‘contact’.

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *