Projek Bandar Masar Makkah: Transformasi Tanah Suci Mekkah dan Implikasinya kepada Musim Haji

Makkah, Tanah Suci yang menjadi pusat ibadah bagi umat Islam, setiap tahun akan menyambut jutaan jemaah dari seluruh dunia untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Dengan jumlah jemaah yang terus meningkat, keperluan infrastruktur dan fasiliti yang mencukupi menjadi semakin mendesak. Untuk mengatasi cabaran ini, Arab Saudi telah melancarkan Projek Masar Makkah sebagai sebahagian daripada Visi 2030, sebuah inisiatif bercita-cita tinggi yang bertujuan mentransformasi Tanah Suci Mekkah menjadi pusat ibadah yang moden.

Untuk pengetahuan anda, projek yang dibangunkan ini mempunyai keluasan keseluruhan sekitar 1.2 juta meter persegi menuju ke Masjidil Haram. Ia meliputi laluan pejalan kaki sepanjang 3.6 kilometer dan kelebaran 60 meter yang dilengkapi dengan 15 laluan bawah untuk kegunaan pejalan kaki. Selain itu, terdapat 11 buah perhentian bas dengan 2 stesen utama. Jarak antara Bandar Masar ini ke Masjidil Haram ialah sekitar 550 meter dan jaraknya dari Stesen Makkah pula kira-kira 100 meter.

Di samping laluan pejalan kaki terdapat 2 jalan utama yang terletak di bahagian utara dan selatannya menuju ke Baitullah. Manakala, sebanyak 6 laluan bawah tanah disediakan untuk kemudahan laluan kenderaan supaya kenderaan luar tidak menyeberangi kawasan bandar itu nanti. Ini kerana, tapak pembangunan ini hanya dikhaskan bagi kemudahan dan keselesaan pengguna pejalan kaki sahaja.

Tujuan Projek

Projek Bandar Masar Makkah dimiliki dan dimajukan oleh Umm Al-Qura membawa beberapa objektif utama yang bukan sahaja menyokong pelaksanaan ibadah haji dan umrah, tetapi juga meningkatkan kualiti kehidupan seharian bagi penduduk di Kota Mekkah. Antara tujuan utama pembangunan itu adalah memperbaiki infrastruktur. Bayangkan sebuah bandar yang dilengkapi dengan infrastruktur canggih dan moden, direka khusus untuk menampung jutaan jemaah haji atau umrah supaya berjalan dengan lancar dan selamat, terutama pada musim haji. Infrastruktur yang serba moden dan cekap ini akan memastikan setiap langkah perjalanan ibadah dapat berlangsung tanpa halangan serta dapat memberikan pengalaman yang lebih selesa dan lebih fokus kepada ibadah.

Selain itu, pembangunan sosial dan ekonomi seperti dengan mewujudkan pusat membeli-belah mewah, hotel, dan pelbagai kemudahan komersial lain, ia dapat melonjakkan lagi ekonomi tempatan. Ini bukan sahaja tentang pembangunan fizikal, tetapi juga tentang mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kebajikan masyarakat sekeliling serta menjadikan Mekkah sebagai pusat ekonomi yang dinamik.

Walaupun projek ini melibatkan kerja-kerja pembaharuan secara menyeluruh, pemeliharaan budaya dan sejarah seperti tapak bersejarah dan warisan Mekkah akan terus dipelihara, dikekalkan dan dipromosi dengan baik. Para jemaah mungkin berasa bimbang dengan pembangunan tersebut kerana dikhuatiri akan menghapuskan nilai-nilai penting sejarah dan Islam. Namun, ia tidak sama sekali akan dihapuskan malah para pengunjung dan para jemaah boleh berjalan di kawasan sekitar yang kaya dengan sejarah, di mana setiap sudut menceritakan kisah-kisah masa lalu.

Demi memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah, Bandar Masar Makkah akan disajikan dengan pelbagai kemudahan yang lebih moden untuk memudahkan pelaksanaan ibadah haji atau umrah, bermula daripada tempat penginapan yang selesa sehinggalah kepada sistem keselamatan yang canggih. para jemaah akan dihidangkan dengan tahap keselesaan dan keselamatan yang maksimum, supaya dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah mereka tanpa kebimbangan.

Projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi satu transformasi yang menyentuh setiap aspek kehidupan di Kota Mekkah untuk menjadikannya lebih baik dan lebih mesra kepada semua yang berada di Tanah Suci.

Progres dan Pembangunan

Projek Bandar Masar Makkah, yang bermula pada tahun 2018, dirancang akan siap dalam beberapa fasa utama menjelang tahun 2030. Inisiatif ini akan mengubah wajah Kota Mekkah dengan beberapa perkembangan utama seperti kemudahan pengangkutan awam.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa Kerajaan Arab Saudi telah menyediakan sistem Pengangkutan Moden iaitu Sistem Kereta Api berkelajuan tinggi atau Haramain Highspeed Railway (HHR) yang menghubungkan antara Mekkah dengan Jeddah dan Madinah. Sistem pengangkutan ini telah memendekkan masa perjalanan dengan sangat ketara yang mana sebelum ini jika menggunakan kenderaan bas, tempoh perjalanan mengambil masa sekitar 4-6 jam. Namun, dengan sistem pengangkutan yang baru ini, perjalanan mengambil masa antara 2 jam 30 minit ke 3 jam sahaja. Bagaimana pun, sistem pengangkutan bas masih beroperasi seperti biasa.

Selain itu, HHR juga menghubungkan Stesen King Abdullah Economic City (KAEC) dan Stesen Al-Sulimaniyah – JEDDAH.

IMEJ VIA

Di samping itu, sistem pengangkutan awam di bandar ini akan dikemas kini secara menyeluruh, memudahkan pergerakan para jemaah haji atau umrah dan para penduduk dengan tahap kecekapan dan keselesaan yang lebih tinggi. Kemudahan-kemudahan yang disediakan sangat memberi manfaat kepada para jemaah dengan masa perjalanan yang dapat dikurangkan dan dalam masa yang sama dapat meningkatan waktu untuk beribadah.

Bandar ini juga menumpukan perhatian kepada pembangunan Infrastruktur Bandar Termaju iaitu dengan pembinaan dan penambahbaikan jalan utama, terowong, dan jambatan untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas yang kerap. Pembesaran Masjidil Haram juga merupakan salah satu pembangunan terpenting dalam projek ini. Dengan kapasiti yang lebih besar, selepas ini Masjidil Haram akan dapat menampung lebih ramai lagi jemaah untuk memastikan para jemaah dan para penduduk dapat menjalankan ibadah dengan lebih lancar dan teratur. Manfaat lain juga turut disediakan termasuk akses yang lebih baik untuk perkhidmatan kecemasan dan kerja-kerja penyelenggaraan.

Antara kemudahan utama yang disediakan di Bandar Masar ini ialah kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel yang baru dan apartment berkapasiti besar akan dibina di sekitar projek ini. Ia menawarkan pelbagai pilihan penginapan yang selesa untuk para jemaah haji dan umrah. Kemudahan ini direka untuk memenuhi keperluan semua jemaah haji, dari semua peringkat ekonomi untuk memastikan setiap orang dapat mencari tempat penginapan yang sesuai dengan keperluan mereka. Ini juga sudah pasti akan menyokong industri perhotelan tempatan dan mencipta peluang pekerjaan yang lebih besar.

Kawasan komersil dan rekreasi yang menarik seperti pusat membeli-belah, restoran, kedai-kedai dan kawasan rekreasi baharu akan dibangunkan di sepanjang bandar ini untuk keperluan harian kepada para jemaah yang hadir serta kemudahan kepada penduduk setempat. Tempat-tempat ini direka untuk mencipta pengalaman yang lebih selesa dan menyeronokkan. Ini akan menjadikan setiap kunjungan ke Mekkah menjadi lebih baik dan berkesan.

Manfaat Demi Masa Depan

Projek Masar Makkah adalah langkah besar menuju transformasi kota suci Mekkah menjadi pusat urban Islamik yang moden tanpa meninggalkan nilai-nilai Islam dan kaya dengan sejarah. Sudah tentu ia bertujuan untuk meningkatkan pengalaman ibadah kepada para jemaah, sekaligus mendorong pertumbuhan ekonomi setempat yang bukan sahaja menguntungkan penduduk Mekkah tetapi juga jutaan umat Islam yang mengunjungi kota ini setiap tahun.

Musim haji akan memperlihatkan kesan positif dari pembangunan projek bandar ini, dengan infrastruktur yang lebih baik dan fasiliti yang lebih selesa untuk para jemaah. Transformasi ini memastikan bahawa Makkah tetap menjadi pusat keagamaan yang dihormati dan dicintai oleh umat Islam di seluruh dunia, sambil terus berkembang untuk memenuhi keperluan dan perubahan di masa depan. Dengan progres yang signifikan dan komitmen yang kuat, Bandar Masar Makkah akan menjadi contoh terbaik bandar Islamik yang menggabungkan tradisi dan inovasi demi memastikan Tanah Suci ini terus berkembang dan menjadi lambang kebanggaan kepada umat Islam.

Oleh – Azizi MY

* Sekiranya terdapat kesilapan/pembetulan/tambahan/pindaan terhadap maklumat di atas, sila maklumkan kepada pihak kami melalui ruangan komen di bawah atau di bahagian contact


Nota:

Sumber: masardestination, HHR Portal

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *