10 Bangunan Ikonik Di Kuala Lumpur dan Sekitarnya yang Perlu Anda Ketahui

Di Kuala Lumpur, terdapat banyak bangunan ikonik yang mencerminkan evolusi seni bina serta sejarah di Malaysia. Dari struktur bersejarah yang telah lama berdiri hingga bangunan moden yang menjadi mercu tanda, setiap satu menggambarkan perjalanan pembangunan Malaysia yang menarik untuk diterokai. Terdapat banyak bangunan yang masih dipelihara dengan teliti dan ada juga yang telah dirobohkan namun, setiap bangunan mempunyai cerita, tujuan, dan daya tarikannya tersendiri. Dalam artikel ini, kami akan kongsikan 10 bangunan ikonik di sekitar Kuala Lumpur yang menarik untuk diketahui.

1. Menara Kuala Lumpur (KL Tower)

Sebelum wujudnya menara tertinggi di Malaysia, Menara Kuala Lumpur, atau KL Tower, merupakan salah satu struktur paling terkenal di Kuala Lumpur. Dengan ketinggian 421 meter, menara ini menawarkan pemandangan panoramik yang menakjubkan, menghidupkan suasana udara di sekitar bandaraya Kuala Lumpur bersama-sama dengan struktur menara lain. Direka oleh Kumpulan Senireka Sdn. Bhd., pembinaan menara ini bermula pada tahun 1991 dan telah siap pada tahun 1994.

pemandangan bangunan ikonik di Malaysia. Menara kuala lumpur dan menara berkembar petronas

Terdapat tempat untuk melakukan aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Menara KL dan kawasan sekitarnya, antaranya Restoran Berputar Atmosphere 360, Sky Box, Sky Deck, Mini Zoo dan Akuarium yang berada di kawasan Menara KL

2. Petronas Twin Towers

Petronas Twin Towers, yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, adalah antara bangunan paling ikonik di dunia. Kedua-dua Menara Berkembar ini mempunyai ketinggian sehingga 452 meter dan mengandungi 88 tingkat serta 5 tingkat di bawah tanah. Menara yang direka oleh arkitek Argentina, Cesar Pelli ini menggabungkan elemen-elemen seni bina Islam, seperti bentuk geometri dan simetri, dengan reka bentuk moden. Skybridge yang menghubungkan kedua-dua menara di tingkat 41 dan 42 menyediakan pemandangan yang sangat unik dan menakjubkan serta menarik untuk para pengunjung yang datang berkunjung.

Petronas Twin Towers kini menduduki tempat ke-19 dalam senarai bangunan tertinggi di dunia dan ke-14 tertinggi di Asia. Di Malaysia, ia adalah bangunan kedua tertinggi, selepas Menara Merdeka 118, dan juga merupakan bangunan kedua tertinggi di Kuala Lumpur. Struktur ikonik ini pernah memegang rekod sebagai bangunan tertinggi di dunia dari tahun 1998 hingga 2004, sebelum disusuli oleh menara-menara yang lebih tinggi di Asia dan Timur Tengah.

Fakta :

  • Arkitek: Cesar Pelli
  • Aras: 88 Tingkat
  • Ketinggian: 452 m (1,483 kaki)
  • Tahun Mula Dibina: 1992
  • Tahun Siap Dibina: 1998
  • Lokasi: Jalan Ampang, Kuala Lumpur
  • Kedudukan terkini di Dunia: #19
  • Kedudukan terkini di Asia: #14
  • Kedudukan terkini di Malaysia: #2
  • Kedudukan terkini di Kuala Lumpur: #2

3. Masjid Putra Putrajaya

Masjid Putra merupakan salah satu simbol keindahan seni bina Islam yang terdapat di Putrajaya. Terletak bersebelahan Tasik Putrajaya, rekabentuk masjid ini menarik perhatian dengan warna merah jambunya yang khas dan kelihatan seolah-olah terapung di atas permukaan air telah menjadikannya sebagai struktur yang sangat menonjol dan menjadi destinasi utama kepada para pengunjung yang mengunjungi Putrajaya. Rekabentuknya dihasilkan oleh Arkitek Nik Mohamad Bin Mahmood dari Kumpulan Senireka Sdn. Bhd., yang menggabungkan elemen-elemen seni bina Parsi klasik dari zaman kerajaan Safawi dengan gaya kontemporari moden. Gabungan ini memberikan Masjid Putra penampilan yang sangat unik dan elegan.

Fakta & Ciri-Ciri Masjid Putra Puitrajaya

  • Arkitek: Nik Mohamad Bin Mahmood (Kumpulan Senireka Sdn. Bhd.)
  • Gaya Seni Bina: Gabungan Seni Bina Parsi dan Kontemporari
  • Tahun Mula Dibina: 1996
  • Tahun Dibuka: 2000
  • Kapasiti: Mampu menampung hingga 15,000 jemaah
  • Kubah: Terdapat 9 kubah, termasuk kubah utama yang besar dan kubah-kubah kecil yang menghiasi struktur masjid
  • Menara: 1 menara setinggi 116 meter, direka dengan bentuk bintang lapan penjuru, melambangkan seni bina Islam yang indah dan unggul

Masjid Putra bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah utama di Putrajaya, tetapi juga sebagai pusat aktiviti komuniti dan mercu tanda ikonik yang melambangkan kecemerlangan seni bina Islam di Malaysia. Gabungan antara elemen-elemen klasik dan moden dalam reka bentuknya melambang keindahan dan keagungan Islam dalam konteks senibina kontemporari.

4. Istana Negara

Istana Negara terletak di Jalan Istana, Kuala Lumpur, merupakan kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara Malaysia. Istana ini mempunyai sejarah panjang sejak ia dibina pada tahun 1928. Pada asalnya, bangunan ini merupakan kediaman kepada seorang Jutawan China, Chan Wing, sebelum dijadikan istana rasmi untuk Yang di-Pertuan Agong pertama pada tahun 1957. Sebelum itu, Istana ini pernah dijadikan sebagai Istana Sultan Selangor antara tahun 1950 hingga 1957. Reka bentuk seni binanya yang gah adalah gabungan elemen-elemen seni bina Melayu tradisional dengan pengaruh kolonial dan Islam di samping menampilkan bumbung berbentuk ‘pagoda’ dan seni ukiran kayu yang indah.

Foto Istana Negara, Jalan Istana: Gryffindor via commons wikimedia

Istana Negara dibina di kawasan yang luas dan dikelilingi dengan taman dan landskap yang cantik. Di dalamnya lengkap dengan pelbagai ruang termasuk dewan utama untuk upacara rasmi, bilik-bilik diraja, dan kawasan kediaman. Kawasan istana ini juga termasuk balairung seri yang digunakan untuk acara-acara rasmi kerajaan seperti istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan sambutan tetamu negara.

Foto Istana Negara, Jalan Duta: CEphoto, CC BY-SA 3.0 via commons wikimedia

Pada November 2011, Istana ini tidak lagi dijadikan sebagai kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong kerana telah berpindah ke Istana Negara di Jalan Duta. Manakala, Yang di-Pertuan Agong terkahir bersemayam dan ditabalkan di Istana Negara di Jalan Istana ialah Sultan Mizan Zainal Abidin.

5. Masjid Jamek

Masjid Jamek yang terletak di Kuala Lumpur adalah salah satu masjid tertua dan paling bersejarah di Malaysia. Dibuka pada tahun 1909, masjid ini direka oleh arkitek British, Arthur Benison Hubback, yang menggunakan gaya seni bina Mughal dan Moorish, yang mencerminkan pengaruh Islam di Asia Selatan dan Timur Tengah. Terletak di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, masjid ini mempunyai kubah yang besar, menara-menara yang tinggi, dan gerbang yang berbentuk melengkung. Dengan persekitaran yang tenang di tengah-tengah bandar yang sibuk, Masjid Jamek merupakan tempat ibadah penting serta warisan seni bina yang dihargai.

Foto: Tripadvisor

Fakta & Ciri-Ciri

  • Arkitek: Arthur Benison Hubback
  • Nama: Masjid Jamek atau Masjid Jamek Sultan Abdul Samad
  • Tahun dibuka: 1909
  • Kos Pembinaan: $32,625
  • Kubah: 3 dengan saiz terbesar ialah 21.3 meter tinggi
  • Menara: 2 buah menara utama

6. Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad

Tidak jauh dari Masjid Jamek ialah Dataran Merdeka. Dataran Merdeka merupakan salah satu tempat bersejarah paling penting di Kuala Lumpur di mana bendera Union Jack diturunkan dan bendera Malaysia dinaikkan pada 31 Ogos 1957 bagi menandakan kemerdekaan Malaysia dari penjajahan British. Dataran ini pada asalnya dikenali sebagai Padang Kelab Selangor. Di hadapannya pula merupakan bangunan bersejarah paling terkenal di Malaysia iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad, sebuah bangunan lama dengan gaya seni bina Moorish yang direka oleh arkitek British, A.C. Norman. Bangunan Sultan Abdul Samad terletak berhadapan dengan Datan Merdeka terkenal dengan menara jamnya dan dinding-dinding berwarna merah bata, serta lengkungan dan kubah yang diilhamkan dari seni bina Islam. Dataran ini kini menjadi pusat untuk acara nasional dan perayaan seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan perarakan tahunan.

Foto: Haakon S. Krohn, CC BY-SA 3.0 via commons wikimedia

Fakta & Ciri-Ciri

  • Sejarah Nama: Padang Kelab Selangor atau Padang
  • Peristiwa: Bendera Union Jack diturunkan dan Bendera Malaysia dinaikkan, 31 Ogos 1957
  • Tiang Bendera: 95 meter tinggi
  • Tujuan Asal Dataran Merdeka: Padang kriket

Fakta & Ciri-Ciri Bangunan Sultan Abdul Samad

  • Arkitek: Arthur Benison Hubback
  • Gaya senibina: Mughal dan Moor
  • Nama: sempena Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad
  • Tahun dibina: 1894
  • Tahun Siap: 1897

7. The Exchange 106

Salah satu bangunan pencakar langit baru yang menghiasi panorama langit Kuala Lumpur ialah The Exchange 106 atau juga dikenali sebagai TRX yang merujuk kepada Tun Razak Exchange. Dengan ketinggian 445.5 meter, bangunan ini berdiri sebagai bangunan ke-4 tertinggi di Malaysia dan ke-18 di Asia Tenggara. TRX juga direkodkan sebagai bangunan ke-23 tertinggi di dunia setakat tahun 2024.

Dibina di kawasan Tun Razak Exchange, pusat perniagaan dan kewangan utama di Kuala Lumpur, The Exchange 106 direka dengan gabungan elemen moden dan penggunaan kaca reflektif serta rekabentuk dalaman yang serba mewah. Projek ini direka oleh Mulia Group dan Peter Chan Architect.

Fakta:

  • Arkitek: Mulia Group, Peter Chan Architect
  • Tahun dibina: 2016
  • Tahun siap: 2019
  • Lokasi: Jalan Lingkaran, Kuala Lumpur
  • Ketinggian: 445.5 meter (1,462 kaki)
  • Energy Label: GBI Gold

8. Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)

Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ialah antara pusat pameran dan konvensyen terbesar di Malaysia. Terletak berhampiran Petronas Twin Towers, bangunan ini dibina di atas tanah seluas 40 hektar. Ia menyediakan ruang pameran yang besar, dewan-dewan yang serba guna, dan ruang kemudahan yang canggih untuk persidangan, pameran, dan acara diperingkat antarabangsa. Dengan reka bentuk moden yang menekankan keterbukaan dan pencahayaan semula jadi, KLCC juga menampilkan taman-taman dan landskap yang indah yang memberikan suasana hijau di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Pusat konvensyen ini menjadi tuan rumah bagi pelbagai acara besar, dari konvensyen perniagaan, konsert, pameran seni dan sebagainya.

Fakta:

  • Arkitek: Arkitek Jururancang
  • Aras: 8 tingkat
  • Tahun dibina: 2003
  • Tahun dibuka: 2005
  • Kapasiti: 3,000
Foto: User:Two hundred percent, CC BY-SA 3.0

9. Muzium Negara

Sebelum Muzium Negara dibina, tapak tersebut merupakan tapak asal Muzium Lama Selangor yang telah dirobohkan sepenuhnya. Pembinaan Muzium Negara yang baru bermula pada tahun 1959 dan telah siap pada tahun 1963. Ia secara rasmi dirasmikan oleh Tuanku Syed Putra Ibni al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, Yang di-Pertuan Agong ke-3. Arkitek yang terlibat untuk rekabentuk Muzium ini ialah Ho Kok Hoe yang mengambil inspirasi daripada senibina istana diRaja Melayu dan vernakular tradisional Melayu termasuk atap berbentuk panjang dengan ukiran kayu yang rumit dan seni ukir yang cantik. Di dalamnya, muzium ini menempatkan pameran yang merangkumi pelbagai aspek sejarah Malaysia, dari zaman prasejarah hingga era moden, termasuk artifak budaya, kostum tradisional, dan replika kehidupan tradisional. Muzium ini berfungsi sebagai pusat pendidikan dan pemeliharaan warisan budaya Malaysia untuk menarik lebih ramai para pengunjung.

Foto: Bahnfrend , CC BY-SA 4.0

10. Merdeka 118

Sebagai bangunan tertinggi di Malaysia dan Asia, Merdeka 118 ialah bangunan pencakar langit paling terbaru menghiasi pemandangan langit di Kuala Lumpur. Dengan ketinggian 678.9 meter direkodkan, bangunan ini menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia selepas menara Burj Khalifa yang terletak di Dubai. Direka oleh Fender Katsalidis Architects, RSP Architects Planners & Engineers, bangunan ini menampilkan senibina moden dengan penggunaan kaca dan keluli bagi mencerminkan imej moden dan kemajuan teknologi di Malaysia. Terletak berhampiran dengan Stadium Merdeka, Merdeka 118 adalah simbol kemegahan seni bina dan pencapaian ekonomi di Malaysia. Bangunan ini adalah menjadi hab untuk perniagaan, hotel, dan ruang komersial, serta menjadi daya tarikan kepada sektor pelancongan.

Fakta:

  • Arkitek: Fender Katsalidis Architects, RSP Architects Planners & Engineers
  • Ketinggian: 678.9 m / 2,227 kaki
  • Nama: Merdeka 118
  • Lokasi: Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur
  • Energy Label: GBI Platinum targeted, GreenRE Platinum targeted, LEED Platinum targeted

  • * Sekiranya terdapat kesilapan/tambahan/pindaan terhadap artikel ini, sila maklumkan di ruangan komen atau di bahagian contact

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *