henning larsen project master planning in singapore

Transformasi Urban Koridor Utara-Selatan Singapura: Reka Bentuk dan Keterlibatan Komuniti oleh Pasukan Dipimpin Henning Larsen

Kumpulan yang diketuai oleh Henning Larsen, dengan kerjasama Ramboll, Cistri, Gehl, Participate in Design, dan Camphora, telah berjaya memenangi perundingan pelan induk (master plan) untuk merekabentuk jalan permukaan Koridor Utara-Selatan Singapura. Projek ini mencadangkan transformasi urban yang luas dengan tujuan untuk mengintegrasikan pengangkutan awam, mobiliti aktif, ruang komuniti, dan kehijauan sepanjang koridor sepanjang 21.5 km ini. Melalui sesi penglibatan awam, komuniti setempat dan pemegang berkepentingan turut terlibat aktif dalam proses reka bentuk ini. Reka bentuk awal pelan induk dijangka berlanjutan sehingga tahun 2026, dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Kerangka Reka Bentuk: Fokus kepada Hubungan Sosial dan Mobiliti Aktif

Kerangka reka bentuk yang dicadangkan memberi keutamaan kepada hubungan sosial dan mobiliti aktif. Konsep ini dikenali sebagai “rizab kehidupan,” (life reserve) di mana Koridor ini dibahagikan kepada empat (4) bahagian yang berbeza: segmen Komuniti-Industri, Lingkaran Ekologi, Koridor Kesejahteraan Rakyat, dan segmen Warisan Budaya. Setiap bahagian ini bertujuan untuk memperkaya pelbagai aspek kehidupan bandar, dari mempromosikan aktiviti industri hingga menyokong kesejahteraan melalui ruang awam yang boleh diakses. Kawasan-kawasan ini juga dirancang untuk membentuk rangka kerja mobiliti multi-moda yang memenuhi keperluan semua demografi penduduk.

Menyokong Matlamat Singapura sebagai ‘Bandar dalam Alam Semula Jadi’

Sejajar dengan matlamat Singapura yang lebih luas untuk menjadi sebuah “Bandar dalam Alam Semula Jadi,” Koridor Utara-Selatan ini menggabungkan infrastruktur hijau untuk menghubungkan pelbagai kawasan kejiranan dan daerah bersejarah. Usaha ini memperkenalkan laluan pejalan kaki dan berbasikal yang baharu yang diiringi kehijauan untuk menyokong biodiversiti. Kanopi hijau dan taman linear sepanjang koridor ini bertujuan untuk mengubah ruang infrastruktur yang sebelum ini tidak digunakan menjadi ‘hab ekologi.’

Reka Bentuk Responsif kepada Keperluan Komuniti Tempatan

Menjawab keperluan komuniti tempatan, projek ini bertujuan untuk mencipta ruang awam yang dapat diadaptasi mengikut kepada budaya kawasan kejiranan di sekitarnya. Pergerakan yang lancar dan tanpa motor adalah menjadi keutamaan sepanjang projek ini untuk menggalakkan interaksi tanpa sebarang halangan. Satu ciri yang ketara dalam projek ini adalah dataran awam baharu di Jalan Rochor, yang bertujuan untuk meningkatkan hubungan dan penglibatan sosial di persimpangan Little India, Kampong Gelam, dan Jalan Albert.

Pengalaman Peribadi dan Impak Terhadap Reka Bentuk Ruang Awam

Leonard Ng, Pengarah Pasaran Negara untuk Henning Larsen telah berkongsi pengalaman peribadinya tentang cara ruang kongsi boleh memupuk hubungan yang mendalam, walaupun dalam persekitaran bandar yang sibuk. “Kami bukan sekadar mencipta semula jalan; kami mencipta ruang yang bertenaga, yang akan menjadi pelan tindakan untuk mobiliti masa depan dan kehidupan bandar, yang mungkin memberi inspirasi kepada transformasi serupa di bandar-bandar di seluruh dunia.”

Penyertaan Antarabangsa dan Pengiktirafan Global

Projek ini mengikuti proses Permintaan untuk Cadangan dua peringkat yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura, dengan penyertaan 26 pasukan tempatan dan antarabangsa. Penyertaan yang kukuh ini menyerlahkan kepentingan projek untuk meneroka potensi transformasi bandar yang mampan.

Sebagai tambahan, Henning Larsen baru-baru ini telah mendedahkan reka bentuk untuk Jeddah Opera House di Arab Saudi, yang mengambil inspirasi daripada kawasan bersejarah Al-Balad di Jeddah. Firma ini juga telah memenangi pertandingan antarabangsa untuk mereka bentuk Pusat Seni Baharu di Bergen, Norway, dengan matlamat untuk memperluas landskap kreatif dan semula jadi bandar tersebut.

  • Sumber: Archdaily
  • Imej: Archdaily

* Sekiranya terdapat pembetulan/tambahan/pindaan terhadap artikel ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen atau di bahagian contact

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *