Panduan Memilih Bahan Mesra Alam untuk Projek Senibina

Pilihan bahan binaan dalam senibina moden bukan hanya tertumpu pada aspek kekuatan dan keindahan tetapi juga bagaimana ia menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Penggunaan bahan mesra alam menjadi semakin popular disebabkan peningkatan kesedaran terhadap perubahan iklim, kekurangan sumber semula jadi, serta usaha global untuk mengurangkan jejak karbon dalam sektor pembinaan. Artikel ini akan berkongsi bahan-bahan mesra alam yang popular serta sebab-sebab bahan ini menjadi antara pilihan utama arkitek di seluruh dunia.

Mengapa Bahan Mesra Alam Penting?

Bahan mesra alam bukan hanya dapat mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar, tetapi turut membantu dalam menjimatkan sumber tenaga, mengurangkan sisa-sisa bahan, dan dapat menyokong ekonomi kitar semula. Kepentingan ketika memilih bahan-bahan ini bukan hanya relevan untuk menyokong kelestarian alam, tetapi juga untuk memenuhi permintaan pasaran yang kini lebih mengutamakan bangunan yang lestari.

Jenis Bahan Mesra Alam yang Popular

Buluh

Buluh merupakan bahan yang paling cepat berkembang di dunia, dengan kadar pertumbuhan yang boleh mencapai 90 cm dalam masa satu hari. Ini menjadikan buluh sebagai sumber lestari yang sangat cekap. Buluh mempunyai tahap kekuatan yang setanding dengan bahan keluli dalam beberapa aplikasi, selain fleksibel dan juga ringan. Selain itu, ia juga dapat menyerap lebih banyak karbon berbanding kebanyakan pokok-pokok lain. Ini sekaligus menjadikannya sebagai salah satu bahan yang sangat efisien dari segi pengurangan karbon dioksida.

Penggunaan buluh semakin popular di kalangan arkitek khususnya, kerana penekanan kepada penggunaan bahan semula jadi yang mudah diperbaharui. Dalam reka bentuk senibina organik, buluh sering digunakan kerana keupayaannya membentuk struktur semula jadi yang fleksibel dan estetik. Di negara-negara Asia dan Amerika Selatan, seperti Indonesia dan Costa Rica, buluh sering digunakan dalam projek pembinaan lestari untuk menonjolkan komitmen mereka terhadap alam sekitar.

Foto: greenschool.org

Contoh menarik bagi struktur binaan yang menggunakan buluh ialah, Green School Bali di Indonesia yang sepenuhnya dibina daripada buluh. Sekolah ini menonjolkan fleksibiliti dan kekuatan buluh dalam projek senibina moden sambil memperlihatkan estetik yang dihubungkan dengan alam sekitar.

Konkrit Kitar Semula

Konkrit kitar semula memberikan penyelesaian lestari kepada penggunaan sumber semula jadi seperti pasir dan batu kapur yang semakin berkurangan. Penggunaan semula konkrit daripada bangunan lama boleh mengurangkan keperluan untuk memdapatkan bahan baru serta mengurangkan pembuangan sisa-sisa bahan binaan yang dihantar ke tapak pelupusan.

Antara sebab terdapat peningkatan terhadap penggunaan konkrit kitar semula adalah kerana permintaan terhadap rekabentuk bangunan yang menggunakan konsep ekonomi kitaran. Ekonomi kitaran ialah memfokuskan kepada penggunaan bahan-bahan yang dapat dikitar semula tanpa membebankan alam sekitar. Arkitek juga mula menggabungkan konkrit kitar semula dalam rekabentuk bangunan untuk mengurangkan jejak karbon bagi keseluruhan pembinaan.

Foto The EcoARK Pavilion via FB Time pass

Antara contoh yang menggunakan konkrit kitar semula ini ialah The EcoARK Pavilion yang terletak di Taipei, Taiwan yang telah menggunakan bahan konkrit kitar semula untuk mencipta struktur yang tahan lasak yang sepenuhnya bersumberkan daripada bahan terpakai. Projek ini berjaya membuktikan bagaimana bahan buangan dari bahan-bahan pembinaan boleh diubah menjadi bahan yang bernilai tinggi.

Kaca Kitar Semula

Kaca kitar semula adalah bahan yang tidak memerlukan banyak tenaga untuk diproses semula. Selain daripada meminimumkan sisa buangan, kaca kitar semula mampu mengekalkan sifat asalnya. Ini menjadikan kaca yang dikitar semula sangat efisien dari segi kos dan menjimatkan tenaga

Dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan tenaga bangunan, kaca kitar semula sering digabungkan dengan teknologi penebat tinggi. Arkitek kini lebih cenderung menggunakan kaca kitar semula dalam reka bentuk tingkap besar untuk meningkatkan pencahayaan semula jadi dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik. Teknologi kaca yang mengawal suhu dalam bangunan juga semakin popular dalam kebanyakan rekabentuk bangunan hijau.

Foto The Eden Project : CarmenV3 via Tripadvisor

The Eden Project di Cornwall, England adalah salah satu rekabentuk terbaik yang boleh dijadikan sebagai contoh yang mana proses pembinaannya menggunakan kaca kitar semula di dalam rekabentuk bioma ikoniknya. Struktur ini menggabungkan kaca yang boleh ditembus cahaya semula jadi untuk membenarkan jumlah cahaya memasuki ruang dalam dan meningkatkan kecekapan tenaga di dalam bangunan itu.

Kayu bersijil FSC

Kayu bersijil FSC ialah menggunakan bahan kayu yang diperoleh daripada hutan yang diurus secara bertanggungjawab tanpa merosakkan ekosistem setempat. Ini boleh mengurangkan kesan penebangan hutan secara sembarangan dan memastikan bahan kayu diperolehi secara mampan. Ketika ini, permintaan terhadap kayu bersijil semakin meningkat, terutama dalam projek pembinaan hijau untuk memenuhi standard bangunan bersijil LEED atau BREEAM. Arkitek sekarang juga gemar menggunakan bahan-bahan binaan daripada kayu dalam kebanyakan rekabentuk yang dihasilkan kerana keupayaannya untuk menyerap dan menyimpan karbon dioksida sepanjang hayat bangunan di samping membantu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca.

Foto: living-future.org

The Bullitt Center di Seattle, AS, contohnya, menggunakan bahan binaan kayu untuk memastikan struktur yang dibina bukan sahaja tahan lama tetapi juga lestari dari segi sumber. Bangunan ini dikenali sebagai bangunan pejabat paling lestari di dunia.

Penebat Semula Jadi (Hempcrete dan Wool)

Selain itu, penebat semula jadi seperti hempcrete dan bulu domba (wool) semakin popular penggunaannya kerana sifatnya yang boleh diperbaharui dan bebas daripada bahan kimia yang berbahaya. Hempcrete adalah bahan ringan yang tahan api dan mempunyai sifat penebat haba yang baik, manakala wool semula jadi bertindak sebagai penebat berkesan yang tidak toksik dan mudah didapati.

Dengan kesedaran yang lebih tinggi mengenai kesihatan bangunan dan kualiti udara dalaman, penggunaan penebat semula jadi semakin diminati oleh kebanyakan pihak yang ingin membina bangunan atau apa sahaja struktur binaan. Arkitek kini lebih cenderung menggunakan bahan-bahan ini untuk memastikan rekabentuk bangunan yang lebih selesa untuk didiami sambil meminimumkan impak terhadap alam sekitar.

Foto: archello.com

The Triangle House di Switzerland menggunakan hempcrete sebagai bahan penebat utama. Projek ini menunjukkan bagaimana hempcrete bukan sahaja mengurangkan jejak karbon, tetapi juga memberikan prestasi haba yang baik.

Batu Bata Kitar Semula.

Kelebihan batu bata kitar semula ialah dapat mengurangkan keperluan untuk pembuatan batu bata baru, yang memerlukan banyak tenaga untuk dihasilkan. Ia boleh digunakan semula dari bangunan atau struktur lama yang telah dirobohkan. Dengan peningkatan usaha untuk mengitar semula bahan pembinaan dan mengurangkan sisa binaan, batu bata kitar semula kini telah menjadi bahan pilihan utama dalam kebanyakan projek yang menekankan kepada konsep kelestarian. Ia juga dilihat sebagai pilihan estetik yang menarik kerana boleh memberikan sentuhan industri atau nilai sejarah kepada bangunan yang baru.

Foto: dezeen.com

Contoh, The Material Reuse House di Rotterdam, Belanda merupakan contoh bagaimana batu bata kitar semula telah digunakan dalam rekabentuknya. Rumah ini menggabungkan bahan kitar semula daripada bangunan yang telah dirobohkan untuk mencipta struktur baru yang lebih lestari.

Kesimpulan

Dengan keperluan global yang berusaha untuk mengurangkan jejak karbon dan menjaga alam sekitar, penggunaan bahan mesra alam dalam setiap senibina adalah satu langkah penting ke arah masa hadapan yang lebih mampan. Setiap bahan ini dipilih kerana ciri-cirinya yang lestari, boleh diperbaharui dan rendah impak kepada alam sekitar. Trend semasa juga menunjukkan bahawa penggunaan bahan-bahan ini bukan sahaja memenuhi keperluan terhadap fungsi dan nilai estetika, tetapi juga permintaan pasaran untuk bangunan yang lebih hijau dan berkonsep lestari.


** Sekiranya terdapat pembetulan/kesilapan/pindaan/tambahan terhadap artikel ini, sila maklumkan kepada kami di ruangan komen atau di bahagian contact

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *