NEOM, sebuah kawasan pintar dan mampan yang sedang berkembang pesat di barat laut Arab Saudi, baru-baru ini, pada 7 Oktober 2024, telah mengumumkan kerjasama dengan syarikat pembinaan tempatan, Asas Al-Mohileb, bagi mendirikan kilang konkrit siap campur bernilai SAR 700 juta atau kira-kira USD186 Juta. Kilang ini dijangka memainkan peranan penting dalam penyediaan konkrit hijau untuk pembinaan THE LINE, sebuah bandar futuristik berbentuk linear yang menjadi ikon NEOM.

Projek ini menonjolkan peranan Asas Al-Mohileb, syarikat pembinaan dan kejuruteraan terkemuka di Arab Saudi, dalam membina dan mengoperasikan kilang konkrit dengan kapasiti pengeluaran harian lebih daripada 20,000 meter padu konkrit hijau yang mesra alam. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NEOM, Nadhmi Al-Nasr, pembangunan kilang konkrit ini bukan sahaja mempercepatkan kemajuan NEOM, tetapi turut mencerminkan kekuatan industri pembinaan tempatan. “Projek ini menunjukkan kekuatan industri pembinaan Arab Saudi dan kepentingan perkongsian dengan syarikat tempatan dalam membangunkan projek transformasi ini secara mampan,” ujar Al-Nasr.

Ketua Pegawai Eksekutif Asas Al-Mohileb, Sulaiman Al-Mohileb, menyatakan komitmen syarikatnya untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi moden dan penyelesaian pembinaan inovatif. Beliau turut menekankan bahawa langkah ini sejajar dengan Visi 2030 Arab Saudi, yang bertujuan memperkasakan sektor pembuatan sebagai pemangkin kepada pembangunan negara yang lebih luas.
Sebagai kilang pengeluaran konkrit yang canggih, fasiliti ini akan menggunakan teknologi tangkapan dan penggunaan karbon (CCU) serta kaedah penjimatan tenaga. Kilang ini direka khusus untuk menyokong pembinaan THE LINE sebagai sebuah bandar linear yang bercirikan mesra alam, di mana konkrit merupakan bahan utama bagi substruktur dan superstruktur pembinaannya. Kilang ini dijangka memulakan operasi pada bulan depan, dan puncak operasi dijangka tercapai pada tahun 2025, dengan potensi untuk menyediakan lebih 500 pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pembinaan kilang konkrit ini muncul seiring dengan perkembangan pesat THE LINE, yang kini telah memulakan pemasangan cerucuk asas. Setakat ini, lebih daripada 1,000 cerucuk telah dipasang daripada jumlah keseluruhan 30,000 cerucuk yang diperlukan. Dengan infrastruktur ini, NEOM semakin mendekati visi untuk menjadi pusat utama bagi pemimpin industri tempatan dan usahawan dalam menyokong pencapaian Visi 2030.
Sumber: NEOM