Setelah lama terhenti, kerja pembinaan Menara Jeddah, yang dirancang sebagai bangunan tertinggi dunia setinggi 1 kilometer, kini rasmi diteruskan di Jeddah, Arab Saudi. Projek bernilai $1.9 bilion ini dibangunkan oleh Saudi Binladen Group untuk Jeddah Economic Company (JEC), yang dimiliki oleh jutawan Putera Al Waleed bin Talal, cucu kepada Abdulaziz al-Saud, raja pertama Arab Saudi.
Pengumuman ini disampaikan oleh Putera Al Waleed menerusi akaun X miliknya bersama video promosi di bawah tajuk “We’re back”. Pembinaan Menara Jeddah, yang dimulakan pada tahun 2013, terhenti pada November 2017 akibat operasi antirasuah oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang menyaksikan Putera Al Waleed ditahan sementara. Setelah dibebaskan pada Januari 2018, beliau kemudian bersetuju untuk menjual 17% daripada syarikatnya, Kingdom Holding Company (KHC), yang merupakan pemilik JEC, kepada Dana Kekayaan Negara Arab Saudi pada 2022.
Setakat ini, 63 daripada 157 tingkat bangunan telah siap. Menara ini akan menjadi ikon utama kepada pembangunan Jeddah Economic City oleh KHC, sebuah kawasan bandar seluas 500 hektar yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030. Direka oleh arkitek AS terkenal Adrian Smith, yang juga mereka bentuk Burj Khalifa di Dubai, firma arkitek Adrian Smith & Gordon Gill serta jurutera perunding dari Lebanon, Dar al-Handasah, kekal sebagai pasukan utama projek ini.
Dengan perkembangan ini, Menara Jeddah disasarkan untuk mencipta rekod sebagai mercu tanda tertinggi di dunia, melambangkan cita-cita Arab Saudi untuk menjadi pusat ekonomi dan pembangunan bandar utama menjelang 2030.
Sumber: globalconstructionreview.com