Hijjas Kasturi tidak asing lagi kepada pencinta senibina dan mereka yang menghargai keindahan bangunan senibina di Malaysia. Beliau adalah nama besar dalam dunia senibina di Malaysia yang sangat terkenal dengan sumbangan besarnya dalam memperkenalkan senibina moden kepada landskap bandar di Malaysia. Sebagai salah satu tokoh yang membawa perubahan dalam dunia senibina tempatan, reka bentuknya sering kali menggabungkan elemen tempatan dengan pendekatan moden.
Latar Belakang & Pendidikan
Dilahirkan di Singapura pada tahun 1936, Hijjas Kasturi menerima pendidikan senibina di Universiti Melbourne, Australia. Setelah menamatkan pengajian, beliau kembali ke Malaysia dan memulakan kerjayanya sebagai arkitek. Dengan latar pendidikan yang kukuh dan visi yang jelas, Hijjas terus mengembangkan kerjayanya sehingga menjadi salah satu arkitek terkenal di Asia Tenggara.
Pendekatan dan Elemen dalam Rekabentuk
Reka bentuk Hijjas sering menggabungkan keperluan praktikal bangunan dengan estetika yang menggambarkan budaya tempatan. Gaya reka bentuknya dianggap sebagai gaya futuristik tetapi masih terus mengekalkan identiti Malaysia dalam usahanya membentuk gabungan yang lebih harmoni antara kedua-dua pendekatan tersebut.
Elemen yang diterapkan:
- Penggunaan Unsur Tempatan: Setiap rekaan Hijjas sering memuatkan elemen-elemen tempatan, seperti penggunaan gaya tradisional atau simbol yang melambangkan budaya tempatan.
- Penekanan pada Fungsi dan Struktur: Hijjas juga terkenal dengan reka bentuk yang tidak hanya direka untuk menampakkan sesuatu bangunan itu kelihatan menarik, tetapi juga turut disesuaikan dengan keadaan iklim dan konteks tempatan.
Projek Terkenal
Menara Telekom Malaysia
Salah satu projek terkenal yang direka oleh Hijjas ialah Menara Telekom Malaysia atau Menara TM. Bangunan ini merupakan antara contoh terbaik reka bentuk moden yang berbentuk seperti pucuk rebung. Bangunan ini telah menerima Anugerah Tenaga ASEAN 2005 iaitu di bawah kategori Baru & Sedia Ada – Naib Juara 1.

Bangunan Tabung Haji
Bangunan ini terletak di Jalan Tun Razak dan merupakan antara bangunan terkenal yang direka oleh Hijjas Kasturi. Dibina pada tahun 1982 dan siap pada tahun 1984, Menara Tabung Haji ini berketinggian 152 meter dan mempunyai 38 tingkat. Bagi anda yang lahir pada era 1980-an hingga 1990-an, mungkin masih ingat bekas tabung duit yang direka menyerupai bentuk bangunan Tabung Haji ini.
Menara Maybank
Menara ini memulakan pembinaannya pada tahun 1984 dan telah siap pada tahun 1988. Pernah menjadi menara tertinggi di Malaysia iaitu dengan ketinggian 244 meter sebelum terbinanya Menara Kuala Lumpur (KL Tower) dan Menara Berkembar Petronas pada tahun 1995. Senibina bangunan ini diilhamkan daripada bentuk keris terhunus.

Pengaruh dan Inspirasi kepada Arkitek Muda
Sebagai salah seorang pelopor seni bina moden di Malaysia, Arkitek Hijjas Kasturi telah memberi inspirasi kepada ramai arkitek generasi muda. Beliau juga menubuhkan Hijjas Kasturi Associates, sebuah firma seni bina terkenal yang melahirkan ramai arkitek berbakat di Malaysia. Sumbangan Hijjas tidak hanya terbatas pada reka bentuk, tetapi juga dalam mengangkat martabat seni bina Malaysia di mata dunia.
Pengalaman dan pendekatan Hijjas menunjukkan bagaimana identiti budaya dapat diadaptasi ke dalam seni bina moden tanpa mengorbankan nilai tempatan. Bagi arkitek muda, pendekatan yang dibawa oleh Hijjas menjadi antara contoh terbaik bahawa seni bina boleh melangkaui aspek reka bentuk semata-mata, dengan menyampaikan cerita, identiti, dan semangat kepada sesuatu bangsa.

Tokoh Berpengaruh
Hijjas Kasturi ialah seorang tokoh arkitek yang membawa perubahan besar dalam dunia seni bina Malaysia. Dengan falsafah reka bentuknya, beliau telah memberi inspirasi kepada generasi arkitek dalam membentuk wajah bandar di Malaysia. Melalui karya-karyanya, Hijjas telah meninggalkan warisan yang akan terus dikenang dalam sejarah seni bina negara.
** Sekiranya terdapat kesilapan/pembetulan/tambahan/pindaan terhadap artikel ini, boleh terus maklumkan di ruangan komen atau di bahagian contact