Projek Shenzhen Institute of Financial Technology (SIFT), yang direka oleh Zaha Hadid Architects (ZHA), adalah bukti bagaimana seni bina boleh menjadi jambatan antara fungsi, estetika, dan kelestarian. Bangunan 46 tingkat ini, yang kini dalam proses pembinaan di daerah Futian, Shenzhen, menjadi simbol peranan terpenting seni bina dalam menyokong inovasi kepada teknologi dan kesedaran terhadap alam sekitar.

Rekaan Berasaskan Konteks Bandar
Terletak di kawasan yang sempit di Futian, reka bentuk SIFT mencerminkan kepekaan yang mendalam terhadap konteks bandar. Bangunan setinggi 199 meter ini memanfaatkan konsep setback untuk meningkatkan penembusan cahaya matahari ke jalan-jalan sekitar dan ruang awam. Fasad atau reka bentuk luar bangunan, menggunakan bingkai kaca hitam dan gangsa yang mempunyai tahap ketelusan yang berbeza, tidak hanya untuk menarik perhatian tetapi juga membantu dalam fungsi bangunan tersebut.

Setback ini membuktikan bagaimana seni bina dapat menangani cabaran bandar yang padat dan dalam masa yang sama dapat memastikan keharmonian antara rekaan dan persekitaran.
Fungsi Pelbagai dalam Satu Struktur
SIFT direka untuk menjadi hab pelbagai fungsi yang mengintegrasikan makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D), pusat data, kampus latihan, serta jabatan pentadbiran dan sokongan. Penggunaan ruang dalaman yang inovatif, termasuk ruang atrium yang menghubungkan pelbagai tingkat dapat memupuk interaksi dan kolaborasi antara penghuni bangunan
Taman bumbung pula menyediakan ruang tambahan untuk acara dan relaksasi, menjadikan bangunan ini lebih daripada sekadar struktur utilitarian.

Komitmen terhadap Kelestarian
Kelestarian adalah elemen utama dalam rekaan SIFT. Zaha Hadid Architects menggunakan bahan seperti keluli kitar semula dan sumber tempatan, yang membantu mengurangkan jejak karbon. Sistem fasad dengan insulasi termal berprestasi tinggi, sirip luaran yang memberikan naungan semula jadi, serta ventilasi hibrid yang dioptimumkan dengan kecerdasan buatan, mencerminkan pendekatan menyeluruh terhadap kecekapan tenaga.
Tambahan pula, rekaan ini dibuat berdasarkan analisis yang terperinci terhadap pendedahan cahaya matahari untuk memastikan bahawa bangunan dapat mengurangkan pengambilan haba secara pasif. Sistem bangunan pintar pula dapat membantu menjangka keperluan penghuni dengan menyesuaikan pengudaraan dan pencahayaan yang dijalankan secara automatik, dalam usaha memberikan keselesaan yang maksimum dengan penggunaan tenaga yang minimum.

Lokasi Strategik sebagai Hab Teknologi
Terletak di daerah Futian, sebuah kawasan yang terkenal sebagai pusat inovasi teknologi di Shenzhen, SIFT mempunyai akses mudah melalui sistem metro bandar. Lokasi strategik ini memperkukuhkan lagi peranan bangunan sebagai pusat penyelidikan yang maju dalam menyokong perkembangan ekonomi global.

Sebahagian daripada Warisan Zaha Hadid Architects
Projek ini adalah tambahan penting kepada portfolio ZHA, yang terus mengutamakan reka bentuk futuristik, teknologi hijau, dan daya tarikan visual. Dengan kejayaan projeknya baru-baru ini, seperti stadium kayu di Stroud dan stesen metro Riyadh, SIFT adalah petunjuk bagaimana firma ini terus melangkaui sempadan tradisional seni bina.

Lambang Masa Depan Seni Bina
Shenzhen Institute of Financial Technology bukan sekadar bangunan; ia adalah lambang masa depan seni bina yang harmoni dengan teknologi dan alam sekitar. Dengan reka bentuk yang mengutamakan fungsi, estetika, dan kelestarian, projek ini menunjukkan bagaimana seni bina dapat memberikan sumbangan positif kepada dunia yang semakin kompleks dan saling terhubung. Sebagai salah satu projek unggulan di Shenzhen, SIFT mengukuhkan reputasi Zaha Hadid Architects sebagai pelopor dalam seni bina moden.
Sumber: Archdaily
** Sekiranya terdapat pembetulan/tambahan/pindaan terhadap artikel ini, boleh terus maklumkan di ruangan komen atau di bahagian contact