Dalam rekabentuk sesebuah bangunan, pencahayaan dan pengudaraan semulajadi memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan keselesaan pengguna. Bukan sahaja ia membantu mengurangkan penggunaan tenaga, tetapi juga memberi kesan positif kepada kesihatan dan kesejahteraan penghuni. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan setiap ruang dalam bangunan mempunyai bukaan yang cukup bagi membolehkan cahaya dan udara masuk secara semulajadi.
Pengiraan Keperluan Pencahayaan dan Pengudaraan Semula Jadi
Dalam penyediaan pencahayaan dan pengudaraan semulajadi, terdapat peraturan yang perlu diikuti berdasarkan Undang-Undang Kecil Bangunan (UBBL) 1984, Pindaan 2012 & 2021. Berikut adalah pengiraan yang perlu diambil kira bagi menentukan keperluan bukaan untuk pencahayaan dan pengudaraan semulajadi:
- Pencahayaan Semulajadi: Keperluan pencahayaan semulajadi adalah 10% daripada keluasan lantai sesuatu bilik atau ruang.
- Pengudaraan Semulajadi: Keperluan pengudaraan semulajadi adalah 5% daripada keluasan lantai sesuatu bilik atau ruang.
Peraturan UBBL 1984
Menurut Undang-Undang Kecil Bangunan 1984 atau (UBBL 1984), Pindaan 2012 & 2021, Bahagian III, di bawah tajuk Cahaya dan Pengudaraan Semulajadi, perkara ini dinyatakan dalam Seksyen 39: Cahaya dan Pengudaraan Semulajadi seperti berikut:
39. Cahaya dan pengudaraan semulajadi.
(1) Tiap-tiap bilik yang direka bentuk, dipadan atau digunakan bagi maksud-maksud kediaman, perniagaan atau lain-lain kecuali hospital dan sekolah hendaklah dilengkapkan dengan pencahayaan semulajadi dan pengudaraan semulajadi melalui satu atau lebih tingkap yang mempunyai jumlah keluasan tidak kurang daripada 10 peratus daripada keluasan lega lantai bilik itu dan tidak kurang daripada separuh daripada 10 peratus keluasan lantai itu yang mana hendaklah mempunyai ruang buka yang boleh membenarkan laluan udara secara bebas dan tidak terganggu. [Pindaan 2012] [Pindaan 2021]
Contoh Pengiraan Dalam Bentuk Jadual
Di bawah merupakan contoh pengiraan keperluan pencahayaan dan pengudaraan semulajadi untuk beberapa ruang dalam bangunan (selain sekolah dan hospital) berdasarkan kepada UBBL 1984.
Bil | Nama Bilik | Saiz Lantai (ft) | Luas Lantai (ft²) | Keperluan Pencahayaan Semulajadi (10%) (ft²) | Keperluan Pengudaraan Semulajadi (5%) (ft²) | Saiz Tingkap Dicadangkan (ft) | Keluasan Tingkap (ft²) | Mematuhi UBBL? (Ya/Tidak) |
1 | Bilik Tidur 1 | 15 x 15 | 225.0 | 22.5 | 11.3 | 6 x 4 | 24.0 | Ya |
2 | Bilik Tidur 2 | 12 x 12 | 144.0 | 14.4 | 7.2 | 5 x 3 | 15.0 | Ya |
3 | Ruang Tamu | 20 x 15 | 300.0 | 30.0 | 15.0 | 4 x 6 | 24.0 | Tidak patuh untuk pencahayaan |
4 | Dapur | 20 x 15 | 300.0 | 30.0 | 15.0 | 6 x 5 | 30.0 | Ya |
5 | Bilik Pejabat | 20 x 15 | 300.0 | 30.0 | 15.0 | 6 x 5 | 30.0 | Ya |
Perincian Pengiraan Jadual di Atas
- Keperluan Pencahayaan Semulajadi: Keperluan pencahayaan adalah 10% daripada keluasan lantai bilik. Sebagai contoh, untuk Bilik Tidur 1, dengan keluasan lantai 225 ft², keperluan pencahayaan adalah 22.5 ft² (225 x 10%).
- Keperluan Pengudaraan Semulajadi: Keperluan pengudaraan adalah 5% daripada keluasan lantai bilik. Sebagai contoh, untuk Bilik Tidur 1, dengan keluasan lantai 225 ft², keperluan pengudaraan adalah 11.3 ft² (225 x 5%).
- Keluasan Tingkap: Keluasan tingkap dicadangkan adalah berdasarkan keperluan pencahayaan dan pengudaraan semulajadi. Jika tingkap yang dicadangkan memenuhi keperluan pencahayaan dan pengudaraan, ia dikira sebagai “mematuhi UBBL”. Sebagai contoh, untuk Bilik Tidur 1, saiz tingkap yang dicadangkan ialah 6 x 4 (24.0 ft²), yang melebihi keperluan pencahayaan dan pengudaraan, maka ia mematuhi UBBL.
- Tidak Mematuhi UBBL 1984: Bagi Ruang Tamu, saiz bukaan tingkap yang dicadangkan tidak memenuhi atau kurang daripada syarat minimum pencahayaan yang telah ditetapkan. Oleh itu, bagi jadual nombor 3 iaitu Ruang Tamu, ia tidak mematuhi UBBL 1984 bagi pencahayaan semula jadi tetapi mematuhi syarat minimum pengudaraan. Saiz bukaan tingkap tersebut perlu diubahsuai untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan.
Mematuhi UBBL
Semua bilik kecuali Ruang Tamu dalam jadual ini mematuhi keperluan UBBL 1984 (Pindaan 2012 & 2021) kerana saiz tingkap yang dicadangkan memenuhi keperluan minimum untuk pencahayaan dan pengudaraan semulajadi.
Namun, jika saiz tingkap yang dicadangkan lebih kecil daripada keperluan minimum UBBL, ia dikira sebagai “Tidak Mematuhi”. Sebagai contoh, untuk Ruang Tamu, jika tingkap yang dicadangkan adalah 4 x 6 bersamaan 24 ft², ini tidak memenuhi keperluan pencahayaan semula jadi tetapi mematuhi keperluan pengudaraan semula jadi. Maka, untuk pencahayaan ia dikira tidak mematuhi tetapi untuk pengudaraan ia mematuhi UBBL 1984.
Penutup
Pencahayaan dan pengudaraan semulajadi bukan hanya penting untuk keselesaan penghuni, tetapi juga untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam UBBL 1984. Dengan memastikan bahawa setiap bilik dalam bangunan mempunyai bukaan yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengudaraan semulajadi, kita dapat mencipta persekitaran yang lebih sihat, selesa, dan efisien.
- ** artikel berkaitan: Pengudaraan Semulajadi, Pencahayaan Semulajadi, UBBL 1984 : Bahagian III – Cahaya dan Pengudaraan Semulajadi
- ** Sekiranya terdapat pembetulan/pindaan/tambahan terhadap artikel di atas, boleh terus maklumkan di ruangan komen atau di bahagian ‘contact’.