Sebagai arkitek, tugas sebenar bukan sahaja bertanggungjawab mencipta ruang yang berfungsi dan menghasilkan rekabantuk yang cantik, tetapi juga perlu peka terhadap realiti ekonomi dan cabaran global yang mempengaruhi kelangsungan sesuatu projek. Laporan terbaharu dari firma perunding antarabangsa, Stonehaven, mendedahkan bahawa kos pembinaan di UAE dan Arab Saudi dijangka meningkat sehingga 7% dalam tempoh 1 hingga 2 tahun akan datang, akibat tarif perdagangan baharu yang diumumkan oleh Donald Trump.
Walaupun isu ini berlaku di luar Malaysia, kesannya memberi gambaran yang lebih luas tentang bagaimana cabaran geopolitik dan rantaian bekalan global boleh menjejaskan industri binaan, termasuk peranan arkitek dalam menghadapinya.
Reka Bentuk Tidak Lagi Berdiri Sendiri
Dengan lebih $2.3 trilion projek aktif di UAE dan Arab Saudi, peningkatan harga bahan seperti keluli, konkrit, dan aluminium bukan sahaja memberi tekanan kepada bajet pembinaan, tetapi juga memberi kesan langsung terhadap pilihan bahan dan sistem pembinaan yang digunakan dalam reka bentuk.
Di sinilah arkitek memainkan peranan penting. Arkitek perlu lebih fleksibel dan strategik dalam pemilihan bahan serta pendekatan pembinaan. Soalan-soalan seperti berikut akan semakin relevan:
- Bolehkah bahan tempatan menggantikan bahan import yang mahal?
- Adakah reka bentuk boleh disesuaikan untuk menggunakan sistem modular?
- Bagaimana arkitek boleh membantu meminimumkan pembaziran bahan dan memaksimumkan keberkesanan struktur?
“Ribut Sempurna”: Masa untuk Menilai Semula Proses Reka Bentuk
Menurut Gordon Rodger dari Stonehaven, industri kini berada dalam “ribut sempurna” yang merangkumi kekurangan tenaga kerja, tekanan kos global, dan proses lapuk dalam perancangan dan pelaksanaan projek.
Dalam konteks ini, arkitek perlu melangkah lebih jauh daripada peranan tradisional. Arkitek perlu menjadi penghubung antara pemaju, jurutera, dan kontraktor untuk memastikan setiap keputusan reka bentuk membawa nilai ekonomi jangka panjang tanpa mengorbankan kualiti seni bina.
Kerjasama awal dalam peringkat rekabentuk bersama konsultan kos dan pembekal bahan akan menjadi semakin penting, agar pelan yang dibangunkan bukan sahaja menarik di atas kertas, tetapi juga realistik dan boleh dibina dalam keadaan pasaran yang mencabar.
BIM, AI dan Modular: Senjata Baru Arkitek?
Laporan Stonehaven turut menekankan keperluan mendesak untuk mengadaptasi teknologi seperti BIM (Building Information Modelling), perancangan berasaskan AI, dan pembinaan modular.
Sebagai arkitek, harus menguasai dan memanfaatkan teknologi ini bagi:
- Merancang dengan lebih tepat dan responsif terhadap perubahan kos bahan
- Meningkatkan ketelusan dalam perancangan dan dokumentasi projek
- Menyokong strategi pembinaan yang pantas dan menjimatkan tenaga kerja
Teknologi bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan — bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan, tetapi juga untuk menjamin daya saing reka bentuk senibina di pasaran yang semakin kompleks.
Refleks kepada Arkitek
Meskipun laporan ini berfokuskan di UAE dan Arab Saudi, ia mencerminkan realiti yang turut dihadapi oleh arkitek di dunia termasuk di Malaysia dan rantau Asia Tenggara. Arkitek juga sedang berhadapan dengan:
- Ketidaktentuan harga bahan binaan
- Projek yang ditangguhkan atau dibatalkan akibat kenaikan kos
- Keperluan kepada pendekatan reka bentuk yang lebih lestari dan ekonomik
Sudah tiba masanya arkitek menilai semula bagaimana seni bina boleh menjadi lebih tangkas (agile) — bukan hanya dari segi estetika dan fungsi, tetapi juga dari segi keupayaan untuk bertahan dalam ekonomi yang tidak menentu.
Kesimpulan
Arkitek pada masa kini perlu bertindak lebih daripada hanya sekadar pereka rupa bentuk dan ruang sesebuah bangunan. Arkitek perlu menjadi pemikir strategik yang mampu menyesuaikan visi seni bina dengan cabaran ekonomi global. Kenaikan kos pembinaan adalah satu amaran bahawa seni bina dan ekonomi tidak boleh lagi dipisahkan, dan masa depan reka bentuk terletak pada keupayaan arkitek untuk bertindak balas secara bijaksana dan lebih kreatif terhadap perubahan zaman.

** Sekiranya terdapat pembetulan/pindaan/tambahan terhadap artikel ini, boleh terus maklumkan kepada pihak kami di ruangan komen atau di bahagian ‘contact’