Lokasi: Shenzhen, China
Saiz: 128,276 m²
Tarikh: 2019 – 2025
Status: Siap
Arkitek: Zaha Hadid Architects
Shenzhen Science & Technology Museum terletak di kawasan Guangming, Shenzhen, dan bertujuan untuk menjadi pusat penyelidikan dan pembelajaran mengenai teknologi, sains, dan inovasi. Pembukaan muzium ini memberi ruang kepada pengunjung untuk meneroka usaha sains dan teknologi masa depan yang akan membentuk dunia.
Direka oleh firma Arkitek terkemuka dunia, Zaha Hadid Architects, muzium ini direka untuk menjadi destinasi utama pelawat di Greater Bay Area, kawasan metropolitan terbesar di dunia dengan hampir 100 juta penduduk. Berkolaborasi dengan industri teknologi, universiti, dan pusat penyelidikan, muzium ini merancang untuk memperkasa inovasi dan mempamerkan kebolehan Shenzhen sebagai pemimpin global dalam teknologi.

Reka Bentuk yang Mengagumkan
Dikelilingi oleh landskap futuristik, reka bentuk muzium ini memberi respon kepada kedudukannya yang strategik berhampiran Stesen Guangming di rangkaian metro Shenzhen. Bentuk bangunan sfera yang kukuh ini memandang ke arah bandar dan menjadi penanda arah bagi sudut tenggara Taman Sains yang baru.
Bangunan ini turut mempunyai teres luar yang dinamik, memperluaskan ruang galeri muzium, yang menyambung secara langsung dengan atrium pusat yang hebat. Atrium ini direka sebagai ruang awam yang penting bagi bandar, memberikan pemandangan panorama taman yang mengagumkan.


Fasiliti Muzium
Muzium ini menawarkan 35,000 m² ruang pameran tetap dan sementara, 6,000 m² ruang teater imersif dan pawagam, serta 5,400 m² pusat penyelidikan dan inovasi. Selain itu, terdapat juga ruang untuk kemudahan pengunjung dan bengkel penyelenggaraan.
Setiap galeri, yang muncul daripada lantai dan dinding atrium, mempunyai reka bentuk unik yang mengarah pengunjung dengan intuitif melalui ruang-ruang yang saling berhubung. Atrium yang besar dan berstruktur memberi banyak perspektif, menjadikan pengalaman penerokaan lebih menarik dengan cahaya semula jadi yang memasuki ruang ini.

Teknologi Hijau dan Kecekapan Tenaga
Mengambil kira iklim subtropika Shenzhen, reka bentuk bangunan ini menggunakan strategi pasif untuk meminimumkan kemasukan haba matahari dan memastikan keselesaan pengunjung. Bangunan ini turut dilengkapi dengan sistem fasad yang inovatif untuk menapis cahaya matahari, dengan panel keluli tahan karat yang mencipta ruang berventilasi di antara fasad dan dinding luar.
Fasad muzium ini menggunakan teknologi INCO dengan warna gradient yang memberi ilusi objek angkasa yang dinamik. Dengan kecekapan sistem pengurusan pintar, muzium ini menjangka dapat mengurangkan penggunaan tenaga dan menurunkan pelepasan karbon.

Memperkasa Inovasi demi masa depan dunia senibina
Shenzhen Science & Technology Museum bukan sekadar tempat untuk melawat, tetapi juga merupakan sebuah institusi yang menghubuungkan sains, teknologi, dan reka bentuk untuk memperkasa inovasi dan memberi impak kepada dunia. Dengan komitmen terhadap kelestarian dan kemajuan teknologi, muzium ini menjanjikan pengalaman yang luar biasa kepada pengunjung dari seluruh dunia.
Artikel Berkaitan:
Kredit: Images courtesy of Zaha Hadid Architects. Photo by © Virgile Simon Bertrand.