RAMA Estudio Memenangi Pertandingan Mengubah Bangunan Awam ke Perumahan Sosial di Ecuador

RAMA Estudio telah memenangi pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan dan Perumahan Bandar Ecuador (Miduvi) untuk menjadikan bangunan awam kepada perumahan sosial, “Casa Cevallos”. Projek itu bertujuan untuk memberikan wajah baru kepada bangunan Miduvi Tungurahua yang terletak di hadapan Taman Cevallos di Ambato, Ecuador. Bangunan yang diubahsuai itu akan mempunyai 16 buah apartmen yang boleh diadaptasikan menjadi 7 jenis rekabentuk yang berbeza dan untuk menampung sebanyak 45 orang penduduk.

IMEJ – ARCHDAILY

Menurut arkiteknya, pemulihan bangunan yang tidak dipakai atau kurang digunakan di pusat bandar adalah satu peluang untuk membina bandar yang seimbang, mampan dan lestari. Mereka juga bercita-cita untuk mempromosikan senibina yang menghasilkan tempat kediaman dengan senario yang berbeza dan dalam masa yang sama masih mengekalkan identiti bandar itu sebagai pusat komersial, budaya dan sejarah.

Firma arkitek Ecuador itu menawarkan struktur yang dapat disesuaikan dengan elemen warisan yang berada di sekitar bandar itu. Bangunan itu diorientasikan ke arah Taman Cevallos dan tingkat keduanya diintegrasikan sebagai ruang tambahan orang ramai sebagai inisiatif dan membenarkan akses untuk berjalan kaki ke bangunan itu.

IMEJ VIA ARCHDAILY

Kata RAMA Estudio, projek yang diusulkan itu bertujuan untuk memaksimumkan penggunaan sumber-sumber yang ada dengan memanfaatkan infrastruktur yang sedia ada dan menggunakan bahan-bahan yang boleh diperbaharui dalam pembinaan projek itu. Hasrat itu menunjukkan bahawa RAMA Estudio berusaha untuk membangunkan projek yang mampan dan lestari.

Projek itu mengandungi tiga blok perumahan yang dihubungkan oleh tiga taman. Blok pertama disediakan untuk ruang awam atau ruang orang ramai sebagai mempromosikan ekonomi mikro keluarga. Halaman yang menghadap taman pula akan mempunyai pelbagai fungsi, antaranya sebagai taman sayur masyarakat, tempat pertemuan untuk pengguna dan bilik umum. Sebuah kafeteria juga disediakan sebagai salah satu sumber kewangan kepada perlaksanaan projek itu.

IMEJ VIA ARCHDAILY

Fasad bangunan akan menjadi galeri yang diperbuat daripada kayu, logam dan kaca dengan kekisi untuk menjamin privasi ruang dalam. Selain itu, satu bahagian tambahan akan disediakan pada struktur sedia ada sebagai galeri untuk laluan mendatar dan juga sebagai akses ke kediaman.

Rekabentuk ini sekaligus dapat menghasilkan bangunan yang bukan sahaja menarik tetapi dalam masa yang sama dapat menyediakan ruang orang ramai yang lebih privasi mengikut kesesuaian penduduk tempatan.


Sumber: Archdaily

About The Author

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *